Sabtu, 24 Jun 2017 - 6:25AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Sultan Johor sedia terima kritikan di media sosial

MERSING: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menerima kritikan terhadapnya menerusi media sosial dengan hati terbuka.

Mengakui kadang-kala tersinggung sedikit, baginda bertitah ada kritikan yang disampaikan oleh orang ramai itu bersifat positif dan baginda menerimanya.

"Ada yang terima baik ada yang negatif juga. Saya tak lah harap semua sekali teguran yang baik pada saya... memang ada kritikan. Kritikan ni biasa, kita mesti terima kritikan orang. Daripada kritikan itu kita kena tanya balik diri sendiri semula, apa yang aku buat tu betul ke," titah baginda dalam temubual eksklusif bersama agensi media di bawah Media Prima Berhad, baru-baru ini.

Temubual itu sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, pada Khamis ini.

Namun, baginda mempelawa pengkritik menemuinya untuk menyatakan rasa hati mereka kerana baginda bersedia mendengar apa yang mereka mahu sampaikan.


SULTAN Ibrahim Iskandar menerima kritikan terhadapnya menerusi media sosial dengan hati terbuka. - Foto Zain Ahmed

"Dalam Facebook pun banyak yang kritik. Kalau nak ikut kritikan orang, semua takut tersinggung 24 jam tak payahlah ada Facebook. Yang media sosial ni semua, janganlah tulis benda-benda merepek.

"Kalau kita tengok komen-komen orang adalah juga kadang-kadang kita tersinggung tapi tu tak apalah. Yang tu saya selalu tengok sikit je tak nak tengok lebih. Ada yang cemburu juga, ada yang cemburu cara yang saya buat benda," titah baginda.

Sultan Ibrahim juga ditanya mengenai kesedaran mengenai alam sekitar di kalangan penduduk Johor.

"Tak ada sivik kebersihan... langsung tak ada. Yang buat rumah secara langgar syarat, rumah haram, rumah setinggan, buang sampah sesuka hati. Saya masuk Sungai Tebrau saya nak tunjuk salah satu EXCO Hasni (Datuk Hasni Mohammad) saya ajak dia bersama mari kita masuk Sungai Tebrau.

"Beliau sendiri tak percaya apa yang dia nampak, daripada segi kekotoran. Saya nak tegur, EXCO Alam Sekitar jangan tidur... buat kerja," titah baginda.

Baginda juga mengakui berasa malu dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang tahu semua nama sungai di Johor dan punca kekotorannya lebih daripada rakyat Johor sehingga baginda berjanji kepada beliau untuk membersihkannya.

Ikuti laporan penuh dalam akhbar BH hari ini


Trending

    Disyorkan