Selasa, 21 March 2017 | 6:47am

Guna tangan, kaki untuk kebaikan

Tubuh badan nikmat luar biasa dianugerahkan Ilahi. Justeru, manusia perlu bersyukur dengan nikmat itu. Dalam program Nasaih Diniyah bersama Ustaz Basir Mohamed al-Azhari menjelaskan anggota badan seperti tangan perlu digunakan untuk kebaikan seperti sedekah, menulis ilmu pengetahuan dan bukan untuk kejahatan seperti menyebar fitnah di laman sosial. Tangan bukan sahaja berfungsi di dunia, tetapi berperanan di akhirat.


TANGAN digunakan untuk kebaikan di laman sosial bukan untuk menyebar fitnah.

ALLAH SWT menciptakan anggota badan untuk kemudahan dan kesenangan kita berurusan di dunia ini. Sebagaimana Allah SWT menundukkan matahari, bulan dan bintang untuk kemudahan manusia, begitu jugalah anggota tubuh.

Tubuh badan adalah nikmat luar biasa yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Bermula dari hujung kaki sehinggalah hujung rambut, semuanya adalah nikmat. Bayangkan jika kita tidak memiliki telinga, maka kita tidak dapat mendengar.

Menerusi rancangan Nasaih Diniyyah jam 9 malam setiap Isnin di IKIMfm, Ustaz Basir Mohamed al-Azhari menjelaskan, umat Islam perlu mensyukuri anggota badan yang dikurniakan oleh Alah SWT.

Sesungguhnya, nikmat kedua belah tangan seharusnya digunakan untuk bersedekah, menulis ilmu pengetahuan dan mencari rezeki yang halal. Ia harus dijaga sebaik-baiknya daripada memalukan dan menjatuhkan maruah sesama Islam.

Janganlah tangan kita digunakan untuk mencapai tujuan jahat atau melakukan perbuatan yang haram dengan merampas, menzalimi dan mendatangkan kecederaan terhadap orang lain.

Media massa adalah saluran maklumat yang utama kini dan teknologi maklumat membolehkan semua perkara disebarkan dengan cepat dan meluas walaupun status maklumat itu sendiri tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Laman sosial seperti Facebook, antara hasil ciptaan dunia teknologi hari ini mampu membantu masyarakat berinteraksi dengan sesiapa sahaja merentas sempadan. Pengguna Facebook boleh mempamerkan apa sahaja yang mereka inginkan tarikh lahir, hobi dan macam-macam lagi.

Manfaatkan laman sosial untuk kebaikan

Namun, Facebook juga boleh membawa keburukan kepada pengguna jika tidak pandai menggunakan dan memanfaatkan laman sosial itu ke arah yang lebih baik. Umpamanya, meletakkan gambar mendedahkan aurat, memaki, mencaci dan menghina orang lain.

Terdapat juga pihak yang menggunakan laman sosial dengan mencipta laman mempromosikan kemaksiatan. Oleh itu, hargailah nikmat tangan yang diberikan oleh Allah SWT dengan menjadikan laman sosial sebagai wadah menyebarkan pengetahuan dan amal kebaikan.

Gejala utama dikaitkan dengan teknologi maklumat ialah penyebaran fitnah dan gosip oleh satu pihak bagi tujuan memburukkan, memalukan atau menjatuhkan pihak lain. Fitnah disebar menggunakan pelbagai laman sosial yang adai.

Hal ini mencabar etika dan tatasusila hidup bermasyarakat dan bernegara. Menurut ajaran Islam, penyebaran fitnah adalah satu jenayah besar. Fitnah memberi kesan terhadap maruah dan kedudukan seseorang individu serta keluarganya.

Menurut Basir, tangan bukan sahaja berfungsi ketika di dunia, malah memiliki peranan tersendiri pada hari akhirat kelak. Setiap manusia akan menerima catatan amalan pada hari akhirat untuk melihat apa yang dilakukan sepanjang di dunia ini.

Bermula daripada amalan kebaikan sejak akil baligh sehingga meninggal dunia. Kemudian Allah SWT dedahkan segala keburukan, lalu dibaca dan manusia menghitung dirinya sendiri sebelum dinilai Allah SWT.

Terima suratan amalan

Sebelum timbangan amalan dilakukan, datangnya catatan atau suratan amalan, manusia masing-masing berkata, "Buku apakah ini? Semuanya dicatat Allah SWT segala amalan."

Ketika melayangnya suratan amalan, jika diterima manusia melalui tangan kanannya, maka dia akan tergolong dalam kalangan ahli syurga, jika suratan amalan diterima melalui tangan kiri maka dia tergolong sebagai ahli neraka.

Manakala kedua kaki pula hendaklah dipelihara daripada melangkah ke tempat maksiat yang ditegah oleh syarak. Sebaliknya, gunakan anggota itu dengan melangkah ke masjid atau surau untuk memperoleh kebaikan di dunia serta akhirat.

Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota akan memberi kesaksian di atas apa yang dikerjakan di muka bumi ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi akan apa yang mereka telah usahakan." (Surah Yasin, ayat 65)

40 dibaca
Berita Harian X