Jumaat, 24 Mac 2017 - 4:08PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Melestarikan alam sekitar untuk diwarisi

Oleh Datuk Dr Anis Yusal Yusoff

BANYAK kerosakan alam sekitar berlaku disebabkan sikap

KITA sebenarnya bukan mewarisi bumi ini daripada datuk nenek kita tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita. Ini adalah peribahasa lama kaum Red Indian di Amerika Utara, yang pada pandangan saya mempunyai kebijaksanaan cukup mendalam. Sebab itu, penting untuk kita menjaga bumi ini agar bila tiba masa untuk kita serahkan kembali kepada anak cucu kita kelak, ia haruslah seperti bumi yang pernah kita diami sebelumnya.

Paling penting agar sungai-sungai di bumi ini, masih lagi tempat yang dapat membiakkan ikan-ikan dan anak cucu kita bermandi-manda dalam air bersih dan jernih seperti ketika kita muda dahulu. Hutannya pula masih dipenuhi haiwan dan pokok tropika yang cukup sebagai tempat tadahan air. Pantai dan lautnya juga terus terpelihara.

Malangnya, dalam masa yang singkat sejak zaman remaja, ramai antara kita yang pada hari ini sudah dalam lingkungan usia 50-an, kita dapat membuat perbandingan dan melihat bagaimana dalam masa yang singkat alam sekitar sudah tercemar. Sebagai contoh, kita ambil dan nilai ke-adaan sungai di Malaysia. Empat puluh atau 50 tahun yang lalu, rata-rata sungai kita boleh dikategorikan berada pada kelas satu iaitu klasifikasi sungai yang airnya boleh terus diminum tanpa rawatan. Situasi hari ini, sungguh menyedihkan.

Sudah tentu alasan yang biasa kita dengar apabila isu pencemaran ini dibincangkan adalah bagaimana perkara ini tidak dapat dielakkan oleh kerana berlakunya pembangunan dan perkembangan industri. Ini alasan paling mudah bagi orang yang tidak mahu berfikir. Malah, banyak kerosakan alam sekitar berlaku disebabkan sikap masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri.

Implikasi memudaratkan kita

Sikap dan amalan ini sekiranya tidak diperingatkan dan dibentuk serta dibudayakan untuk memahami bagaimana kerosakan kepada muka bumi ini jika tidak dijaga dapat memberi implikasi memahami bagaimana kerosakan kepada bumi ini akan memudaratkan kita nanti. Sebab itu, dalam salah satu usaha Institut Integriti Malaysia, kita juga memberi fokus dalam usaha membudayakan integriti dengan mengadakan program bagi mengingatkan masyarakat bahawa kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar kita.

Dewasa ini banyak perkara yang menjadi masalah kepada negara berpunca daripada masalah sikap masyarakat kita juga. Sekiranya masyarakat bersikap acuh tidak acuh, membuang sampah sarap dan segala benda dibuang ke dalam sungai tanpa rasa bersalah, sudah tentu ia akan merosakkan ekosistem. Sebab itu, pendidikan melalui amalan tentang penjagaan alam sekitar tidak cukup dengan hanya iklan 3R. Ianya harus diterjemahkan menjadi amalan harian.

Masyarakat harus dikejutkan seperti mana yang dibuat oleh bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore melalui filem dokumentari An Inconvenient Truth. Mungkin hanya dengan kejutan seperti itu akan menyedarkan sesetengah pihak. Mungkin ada pihak yang mempunyai kepakaran dalam membuat filem dokumentari yang akan tampil menawarkan diri untuk sama-sama terbitkan filem dokumentari pendek tentang kehancuran yang menanti kita di Malaysia ini sekiranya kita membenarkan perasuah dan penerima rasuah bermaharajalela.

Kita perlu menunjukkan bagaimana akibat salah guna kuasa di Zimbabwe telah mengakibatkan negara itu yang juga antara negara terakhir tanah jajahan British di benua Afrika yang mendapat kemerdekaan pada tahun 1980. Namun, dalam masa singkat, negara itu kini berada antara negara bermasalah di dunia.

Kita mungkin perlu melihat bagaimana keadaannya di negara seperti Somalia. Sebuah negara Islam yang rata-rata rakyatnya hidup dalam kemiskinan. Somalia berada tercorot dalam hampir semua indeks pertubuhan antarabangsa yang membuat perbandingan antara negara. Sama ada indeks pembangunan manusia oleh UNDP, indeks persepsi rasuah oleh Transparency International, mahupun indeks Keamanan dunia oleh Institute of Economic and Peace.

Kita tidak perlu pergi jauh. Dalam rumpun negara ASEAN, kita perlu melihat apa yang berlaku di Myanmar sekarang. Semua masalah ini berpunca daripada sikap manusia itu sendiri. Tidak kira sama ada manusia itu pemimpin atau yang dipimpin. Ada yang dipimpin menjadi penyebab kepada kelakuan dan sikap pemimpin mereka dan sudah pasti ramai pemimpin yang rakus dan tidak berintegriti menjadikan amalan korupsi dan salah guna kuasa ini sebagai norma yang baharu dan menindas rakyat yang diamanahkan kepada mereka untuk memimpin.

Bukit ditarah, hutan dirobek

Apa makna semua ini jika sikap tamak mereka yang tidak bertanggungjawab diraikan rakyat terbanyak. Mereka ini yang dijadikan contoh oleh orang muda. Kehancuran negara ditolak ke tepi. Yang didewakan adalah berapa besar kereta yang dipandu dan rumah yang dimiliki.

Artikel ini dimulakan dengan peribahasa lama kaum Red Indian. Kita sedih melihat bukit yang ditarah di merata tempat. Hutan yang dirobekkan dengan pembalakan haram. Singgah ke pantai peranginan, angin sudah tidak bertiup sesepoi bahasa seperti dahulu. Sampah sarap yang menyambut kedatangan kita.

Lampin dengan najis bayi ditinggalkan, yang langsung tidak menghormati pengunjung lain. Agama apa agaknya yang mengajar mereka ini untuk berkelakuan sedemikian? Saya ingin menutup artikel ini dengan satu pertanyaan. Wahai pengkhianat bangsa dan negara yang menjadi makhluk perosak alam sekitar dengan amalan tidak berintegriti dan yang menjadi perasuah, apa agama kamu?

Nanti, bila tuhan bertanya apa yang kita lakukan sebagai khalifah di muka bumi ini, jawablah dengan berkata kami telah 'merogol alam sekitar sesuka hati dengan nafsu serakah kami tanpa memikirkan tentang generasi yang kamu tinggalkan di kemudian hari.' Semoga kita sedar dan kembali ke pangkal jalan dan semoga Malaysia kembali menjadi sebuah negara makmur, alam sekitar terpelihara dan bakal pewaris negara ini nanti akan dapat dikembalikan sebuah negara seperti mana ia di suatu ketika dahulu.

Penulis adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti

Malaysia (INTEGRITI)


Trending

    Disyorkan