Selasa, 23 Mei 2017 - 10:38PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Dominasi Bayern ancam Bundesliga


PEMAIN Bayern Munich, Robert Lewandowski (dua dari kanan) diasak pemain Moenchengladbach, Jannik Vestergaard (dua dari kiri) pada perlawanan bola sepak Jerman antara Borussia Moenchengladbach dan Bayern Munich di Stadium Borussia-Park di Moenchengladbach, Jerman. -Foto EPA

BERLIN: Dominasi Bayern Munich mengancam reputasi Bundesliga dan pencabar mereka perlu berusaha lebih keras untuk merapatkan jurang, kata bos Liga Bola Sepak Jerman (DFL), Christian Seifert.

Kemenangan 1-0 Bayern di Borussia Moenchengladbach, semalam menyaksikan penyandang juara liga itu kini memiliki kelebihan besar 13 mata di depan pencabar terdekat, RB Leipzig berbaki sembilan perlawanan.

Ketika ini, tiada tanda menunjukkan gergasi Jerman itu akan mengharungi penurunan prestasi sekali gus membuka jalan cerah buat jurulatih, Carlo Ancelotti menjulang gelaran utama pada musim pertamanya.

"Kami ketagih dengan perasaan untuk menang, kami tamak dan mahu meneruskan laluan kami ini," kata penyerang, Thomas Mueller selepas meledak gol kemenangan Bayern menentang Gladbach.

Bagaimanapun, perkembangan itu mencetus kebimbangan Seifert yang juga Ketua Pegawai Eksekutif DFL, dan ketika ini cuba untuk mempromosi Bundesliga di luar negara.

"Anda tidak boleh menyalahkan Munich kerana perkara ini, namun jika FC Bayern adalah juara untuk beberapa kali lagi secara berturut-turut, ia jelas tidak akan menjadi begitu kondusif terhadap persepsi kejohanan ini di luar negara," kata Seifert kepada majalah Kicker.

"Di England, pada permulaan musim, lima kelab meletakkan sasaran untuk menjuarai liga. Di Itali, ada tiga. Di Sepanyol, ada dua.

"Di Jerman, tiada satu daripada 17 kelab bercakap untuk mengejar (Bayern) dan perkara ini perlu berubah pada satu tahap," kata Seifert.

Kelab terakhir yang berjaya mengatasi dominasi Bayern ialah Borussia Dortmund pada 2012 dan mereka ketika ini menghuni tangga ketiga dan ketinggalan 16 mata.

Bayern adalah kelab terkaya Jerman dengan keuntungan AS$58 juta (RM256.74 juta) dikumpulkan pada musim 2015/16 dan sejak 30 tahun lalu berjaya menghimpunkan bakat terbaik di Jerman yang melemahkan pencabar mereka dalam proses berkenaan. - AFP


Trending

    Disyorkan