Selasa, 25 April 2017 - 3:08AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Golf: Woods teringin beraksi di Masters


TIGER Woods bersama buku baharunya "The 1997 Masters: My Story" di Barnes & Noble Union Square di New York. - Foto AFP

NEW YORK: Tiger Woods berasa berpeluang bersaing merebut kejuaraan kelima Masters yang dijadual bermula dua minggu lagi, namun masalah belakangnya masih menjadi isu, kata bintang golf itu.

Juara 14 kali kejohanan utama itu tidak bermain sejak menarik diri daripada Dubai Desert Classic, bulan lalu berikutan kekejangan belakang yang berterusan.

Woods mempromosi buku baharu mengenai kemenangan pertamanya di Augusta pada 1997 dan ketika ditanya stesen televisyen Good Morning America sama ada dia akan bertanding di lapangan National tahun ini, katanya:

"Saya harap begitu. Saya mencuba. Saya cuba bermacam-macam untuk kembali dan bermain. Saya menyukai kejohanan itu. Ia besar maknanya dalam hidup saya."

Woods berkata, walaupun semangat membara, keadaan badannya akan menjadi isu apabila perlu menjalani latihan sempurna untuk bersedia beraksi menghadap empat pusingan di kejohanan utama, sesuatu yang hanya dilakukannya dua kali sejak Kejuaraan PGA 2013.

"Minda saya tajam, tetapi saya memerlukan badan yang bersedia untuk melakukannya," kata Woods. "Itu adalah perkara paling sukar dalam persiapan."

Woods menjadi pemain golf berkulit hitam pertama memenangi kejohanan utama dan pemenang termuda dalam sejarah Masters ketika berusia 21 tahun yang terukir di lapangan golf Augusta National.

Kisah itu menjadi subjek dalam buku baharunya yang bertajuk: "The 1997 Masters: My Story."

Woods, 42, memenangi gelaran Masters empat kali namun berkemungkinan terlepas kejohanan itu untuk kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

"Ia mempunyai begitu banyak sejarah dan bermakna kepada saya dan saya sangat suka untuk mendapatkannya kembali," kata Woods. - AFP


Trending

    Disyorkan