Selasa, 21 March 2017 | 9:00am

Isuzu Malaysia kekal peneraju


KENJI Matsuoka (kiri) dan Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia, Mikio Tsukui bersama Isuzu ELF 2017.

ISUZU Malaysia menjadi pengeluar trak Jepun antara terawal menggunakan enjin ultra cekap secara eksklusif di pasaran Asia menerusi rangkaian trak ELF atau lebih dikenali sebagai "raja kargo".

Berdasarkan kepada data yang dikumpul oleh Isuzu Malaysia, dengan barisan enjin commonrail terkini, pengguna trak bukan saja dapat merasai kuasa dan prestasi tork yang luar biasa, malah menikmati penjimatan bahan api yang lebih baik sehingga 7.5 peratus berbanding versi enjin diesel mekanikal yang sudah sedia menjimatkan.

Isuzu berkata, enjin pada model NPR 2017 itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan baharu bersama nisbah gear yang dioptimumkan supaya sepadan dengan karektor prestasi enjin baharu.

Katanya, gabungan itu sekali gus memberikan trak baharu berkenaan daya mengangkut muatan dan prestasi penjimatan bahan api yang lebih baik.

"Isuzu ELF mengukuhkan posisi Isuzu sebagai trak pilihan utama di Malaysia dengan menjadi rangkaian trak paling laris untuk tujuh tahun berturut-turut. Pada tahun lalu, sebanyak 5,548 unit Isuzu ELF berjaya dijual.

"Dengan penambahbaikan terkini dan pelbagai ciri keselamatan yang baru, Isuzu Malaysia dijangka dapat mengekalkan dominasinya dalam segmen trak tugas ringan. Dengan sasaran jualan sebanyak 6,000 unit tahun ini, ia memberikan penguasaan pasaran yang dominan kepada syarikat sebanyak 40 peratus," kata Isuzu Malaysia dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka berkata, penambahbaikan pada trak itu selari dengan komitmen syarikat untuk menawarkan pengalaman penggunaan trak yang lengkap kepada pelanggan di Malaysia.

"Matlamat kami menjadikan Malaysia sebagai negara terbaik untuk memiliki dan menggunakan kenderaan Isuzu. Ini bermakna, melalui prinsip Kaizen, kami akan terus menambah baik dan melakukan inovasi ke atas produk serta operasi demi memastikan kepuasan pelanggan," katanya.

Selain daripada enjin commonrail yang cekap, rangkaian Isuzu ELF 2017 juga akan menggunakan tayar tanpa tiub di mana tayar berkenaan bukan saja menawarkan kapasiti beban yang lebih tinggi, malah menambah baik aspek rintangan golekan yang membuatkannya kurang panas, seterusnya dapat memanjangkan hayat bunga tayar dan mengurangkan kos operasi.

Pemandu juga dapat merasakan bahawa tayar ini memberi cengkaman yang lebih konsisten, seterusnya menawarkan aspek pengendalian dan prestasi brek yang lebih baik.

Dengan sistem pengambilan udara yang direka semula, saiz penapis udara berjaya dikurangkan dan diletakkan pada posisi lebih tinggi.

Ini membolehkan kenderaan bergerak dengan lebih yakin ketika mengharungi jalan yang ditakungi air tanpa mengganggu aspek keluasan ruang kabin dan kargo. Kapasiti penapisan dan aliran udara juga tetap sama.

"Jurutera Isuzu sedar tentang kepentingan kapasiti ampere yang dijana oleh alternator. Justeru, mereka menyelesaikan isu ini dengan meningkatkan kapasitinya bagi menyediakan kadar amperage yang lebih tinggi kepada bateri. Alternator ini bukan dari jenis "after-market", tetapi ia direka dan dipadankan untuk memenuhi keperluan kenderaan. Ia didatangkan dengan jaminan daripada pengeluar," kata Isuzu Malaysia.

Dalam usaha memastikan pelanggan dapat menggunakan kenderaan Isuzu sebaik-baiknya, model Isuzu ELF enam roda akan terus ditawarkan dengan casis paling lebar dalam kelasnya.

Dengan ukuran kelebaran 850 milimeter, rekaan ini membolehkan trak dipasang dengan badan kargo yang lebih besar. Pada masa yang sama kestabilan kenderaan dapat dikekalkan.

Selain ELF, Isuzu NQR juga menerima rekaan gandar hadapan baharu yang membolehkannya mengangkut kapasiti beban lebih tinggi sehingga 3,300 kilogram (kg).

Peningkatan daripada 3,100kg sebelum ini membolehkan agihan berat yang lebih seimbang ke roda hadapan.

Bagi mematuhi peraturan keselamatan terkini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), trak Isuzu ELF baharu dilengkapi dengan satu suis pelarasan lampu utama pada papan pemuka.

Suis ini membolehkan pemandu melaras suluhan cahaya lampu berdasarkan kepada beban yang dibawa oleh trak.

Info:
Ciri lain Isuzu ELF 2017:

  • Lampu kabus belakang
  • Lampu penanda bumbung (untuk model 6 tayar dan ke atas)
  • Satu unit cermin cembung lebar serta pengehad kelajuan yang dikawal secara elektronik
  • Boleh ditempah di semua pengedar sah Isuzu di seluruh negara bermula 1 Mac 2017
56 dibaca
Berita Harian X