Selasa, 21 March 2017 | 9:05am

Gumantong Sabah, gua terbesar populasi burung layang-layang


GUA Gomantong adalah gua terbesar penternakan burung layang-layang secara semula jadi untuk menghasilkan sarang burung. - Foto Malai Rosmah Tuah.

BELURAN: Gua Gumantong di Kinabatangan adalah gua terbesar penternakan burung layang-layang secara semula jadi untuk menghasilkan sarang burung di negeri ini.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sandakan, Hussein Muin, berkata di negeri ini ada 27 sistem gua untuk penternakan burung layang-layang secara semula jadi dengan dua lagi gua terbesar adalah gua Madai di Kunak dan Batu Timbang di Kuamut.

Katanya, sarang burung diperoleh dari gua Gomantong dan Batu Timbang adalah sarang burung jenis putih dan hitam, manakala gua Madai (sarang burung jenis hitam).

"Industri ini wujud disebabkan permintaan sarang burung yang semakin meningkat dan pasaran tinggi. Di Sabah industri ini hanya bermula pada lewat tahun 90-an yang dipelopori oleh Indonesia dan Thailand, " katanya.

Ketika menyampaikan taklimat kepada 21 Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Dewan Undangan Negeri Labuk di sini, semalam, Hussein berkata burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan adalah jenis 'swiftlet'.

Katanya, ada 34 spesies burung layang-layang di seluruh dunia dan di Sabah ada enam spesies, tetapi hanya dua spesies daripada Famili Apodidae iaitu Aerodramus fuciphagus (sarang putih) dan Aerodramus maximus (sarang hitam) menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan.

Hussein berkata, dalam kitaran kehidupan, burung layang-layang terutama pada masa pembiakan, burung berkenaan akan membuat sarang daripada air liur yang berbentuk separuh piring dengan ukuran lebih kurang lima sentimeter.

Beliau berkata, bahagian penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar akan memastikan perkembangan penternakan burung layang-layang di negeri ini terkawal dan mematuhi perundangan serta peraturan semua agensi kerajaan yang berkaitan.

Katanya, ini untuk memastikan aktiviti penternakan burung layang-layang ini tidak menjejaskan populasi burung layang-layang.

Selain itu, katanya, untuk memastikan kesihatan orang awam dan masyarakat berhampiran dengan bangunan penternakan burung layang-layang terpelihara dan bebas daripada ancaman penyakit.

Beliau berkata, spesies burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan adalah spesies yang dilindungi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 tertakluk kepada peraturan yang ada mengikut peraturan-peraturan Hidupan Liar 1998.

Katanya, mereka yang mengusahakan penternakan burung layang-layang dalam bangunan perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Hidupan Liar dan agensi lain yang berkaitan.

BERNAMA

Berita Harian X