Selasa, 25 April 2017 - 3:05AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Tenis: Kvitova tunggu masa sesuai


PEMINAT tenis mengambil gambar papan iklan dipenuhi dengan tandatangan dan ucapan untuk pemain tenis Republik Czech, Petra Kvitova yang ditikam di tangan dalam kejadian samun di rumahnya di Republik Czech pada bulan Disember 2016.- Foto EPA / Mike Nelson

PRAGUE: Petra Kvitova boleh kembali memegang raket selepas menanggung kecederaan parah tiga bulan lalu susulan diserang penceroboh dengan pisau, namun belum ada tarikh khusus baginya kembali ke gelanggang, kata jurucakapnya awal pagi ini.

Juara dua kali Wimbledon itu cedera di tangan kiri ketika bergelut dengan pencuri yang menggunakan pisau di rumahnya di bandar timur Republik Czech, Prostejov, Disember lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu menjalani pembedahan kecemasan selama kira-kira empat jam untuk membaiki tendon dan kerosakan saraf.

"Petra dapat menggunakan tangannya untuk aktiviti harian tanpa masalah," kata jurucakap, Karel Tejkal kepada AFP, sambil memaklumkan pemain itu masih mengekalkan kecergasannya.

"Sudah tentu tangannya masih lemah namun sekali imbas anda tidak boleh lihat dia mengalami kecederaan."

Doktor sebelum ini menjangkakan bintang Republik Czech yang menghuni di ranking ke-15 dunia, tidak boleh kembali ke pentas kejohanan sebelum pertengahan tahun ini.

"Buat masa ini tidak ada siapa dapat memberikan tarikh tepat," kata jurucakap itu. "Pemulihan Petra berjalan seperti dirancang, setakat ini tiada komplikasi, tetapi tunggu masa yang sesuai untuk dia kembali."

Tambahnya, pemulihan psikologi Kvitova sangat menggalakkan dan dia sudah menjalani latihan kecergasan di Kepulauan Canary.

Identiti penceroboh yang melakukan serangan belum dikenal pasti pihak polis. - AFP


Trending

    Disyorkan