Selasa, 21 March 2017 | 12:03pm

'Apa nak jadi, jadilah'


DATUK Seri Mohamed Nazri Aziz hadir pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata debat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual Sabtu ini akan diteruskan walaupun berdepan pelbagai halangan.

Nazri yang mempersoalkan tindakan polis kerana menyekat penganjuran debat itu berkata, program berkenaan bukan rusuhan, sebaliknya wacana untuk membincangkan isu semasa.

"Saya bagi jaminan debat ini tidak akan membabitkan pelakuan keganasan, baik daripada pengundi di Padang Rengas mahu pun penyokong Dr Mahathir.

"Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ada buat program di Kampung Ajil, Terengganu untuk menjelaskan isu semasa, tetapi langsung tidak mendapat tentangan polis.

"Oleh itu, saya tidak faham kenapa permit untuk debat saya dengan Dr Mahathir tidak diluluskan, kononnya gagal menepati syarat dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Saya minta Tun (Dr Mahathir) terus hadir kerana debat ini tetap diadakan... apa nak jadi, jadilah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, sebentar tadi.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, mengulas keputusan Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, yang dilaporkan berkata, permohonan debat ditolak atas empat alasan iaitu lewat mengemukakan borang pemberitahuan seperti dinyatakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mengikut seksyen berkenaan, katanya, penganjur iaitu Kumpulan Media Karangkraf hendaklah membuat pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan.

Polis menjelaskan permohonan penganjuran debat itu diterima pada jam 3 petang, semalam.

Nazri berkata, debat itu membabitkan dua pemimpin yang mempunyai latar belakang perkhidmatan dalam kerajaan, justeru tidak timbul kebimbangan mengenai aspek keselamatan penduduk di Padang Rengas.

"Dr Mahathir adalah bekas Perdana Menteri dan saya adalah menteri dalam kerajaan yang masih terikat dengan tatasusila ketika berdepan dengan orang awam.

"Saya bagi jaminan kepada polis bahawa saya tidak akan meninggikan suara atau bersikap kurang ajar dengan Dr Mahathir, sebaliknya menghormati beliau kerana usianya yang lebih tua.

"Berilah peluang untuk saya berdebat dengan Dr Mahathir kerana kita sudah dapat kebenaran rasmi untuk menggunakan dewan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar," katanya.

Berita Harian X