Jumaat, 23 Jun 2017 - 11:22PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

2 anggota polis direman kes rasuah

Oleh Suzalina Halid


ALOR SETAR: Dua anggota polis direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan penerimaan suapan bulanan sehingga RM4,500 daripada beberapa pengusaha lori, sejak Januari tahun lalu.

Seorang sarjan mejar, 57, dan korporal berusia 53, tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar, di sini jam 9.30 pagi hari ini dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah reman ke atas kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Alor Setar, Rusmini Mat Rashid.

Difahamkan, kedua-dua anggota polis itu menerima wang suapan daripada beberapa pengusaha yang beroperasi di Kulim membabitkan 15 lori.

Mereka dipercayai meminta suapan bulanan berjumlah antara RM200 hingga RM300 untuk setiap lori daripada pengusaha.

Suapan itu dipercayai sebagai dorongan supaya pengusaha tidak dikenakan saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Bagaimanapun, aktiviti mereka terbongkar apabila salah seorang mangsa membuat laporan terhadap SPRM, baru-baru ini.

Kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah.

BH hari ini melaporkan dua anggota polis ditahan di Kulim antara jam 9 hingga 10 pagi kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada pengusaha lori.


PEGAWAI Penguatkuasa SPRM membawa dua anggota polis untuk mendapat perintah reman di mahkamah Alor Setar bagi membantu siasatan menyalahguna kuasa untuk mendapatkan suapan daripada pengusaha lori.- Foto Amran Hamid


Trending

    Disyorkan