Selasa, 21 March 2017 | 12:20pm

Mogok punca pelancaran roket tertangguh


ROKET Perancis, Ariane 5, yang membawa dua satelit komunikasi Brazil dan Korea Selatan ke orbit terpaksa ditunda hari ini selepas kakitangan organisasi terbabit dilaporkan mogok- Foto AFP

CAYENNE: Pelancaran sebuah roket Perancis, Ariane 5, yang membawa dua satelit komunikasi Brazil dan Korea Selatan ke orbit terpaksa ditunda hari ini selepas kakitangan organisasi terbabit dilaporkan mogok.

Pemindahan roket itu ke tapak pelancaran ditangguhkan selepas beberapa pekerja mogok membina sekatan tayar dan kayu pelet di Pusat Angkasa Kourou, di Guiana bawah jajahan Perancis di pesisir timur laut Amerika Selatan.

"Operasi pemindahan roket dari bangunan pemasangan akhir ke zon pelancaran yang dijadualkan gagal dilaksanakan kerana pekerja mogok," kata Arianespace dalam satu kenyataan.

"Arianespace diarah menangguhkan pemindahan itu selama 24 jam," kata kenyataan itu.

Roket VA236 itu dijangka meletakkan dua satelit komunikasi ke orbit. Satu satelit dinamakan SGDC akan menyediakan komunikasi strategik kepada kerajaan Brazil dan perkhidmatan tentera.

Ia turut memancarkan perkhidmatan jalur lebar ke seluruh wilayah negara itu dengan menyediakan akses internet ke kawasan terpencil dan komuniti luar bandar di negara Amerika Latin itu.

Satu lagi adalah satelit KOREASAT-7 yang dimiliki syarikat KTsat Korea Selatan yang menyediakan perkhidmatan video dan data di Korea, Filipina, Asia Tenggara, India dan Indonesia.

Arianespace berkata, pelancaran itu dijadualkan hari ini, namun dijadualkan semula esok antara jam 5.31 petang sehingga 8.20 malam waktu tempatan.

Menurut kesatuan sekerja tempatan, mogok itu dianjurkan pekerja untuk syarikat tenaga kerajaan, EDF Guyane dan kakitangan hospital Kourou. - AFP

Berita Harian X