Selasa, 21 March 2017 | 12:25pm

Tahaluf siyasi PAS, PKR ditentukan muktamar - Tuan Ibrahim


DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto HAFIZ SOHAIMI

KUALA LUMPUR: Kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan, memerlukan PAS memuktamadkan segera kerjasama tahaluf siyasi dengan PKR pada muktamar April ini.

Muktamar PAS Pusat selama tiga hari bermula 29 April depan yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Kedah dijangka membangkitkan usul utama daripada beberapa PAS Kawasan dan sayap parti itu yang mahu tahaluf siyasi antara dua parti dikaji semula demi kelangsungan parti siasah itu.

Antara yang mengusulkan perkara itu ialah PAS Kawasan Bayan Baru dan Permatang Pauh selain Pemuda PAS Kawasan Tumpat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dengan perkembangan terkini yang menyaksikan penggabungan PPBM dengan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara memerlukan mereka mengkaji semula hubungan dengan PKR pada muktamar nanti.

"Hingga kini ada beberapa usul dari Kawasan dan Pemuda Kawasan dan parti akan mengkaji usul itu... kita akan mengkaji sejauh mana rakan tahaluf menghormati parti dan tidak merugikan parti.

"Beberapa tindakan pimpinan PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu dan ucapan mereka di pentas politik yang menyerang PAS dilihat punca adanya usul berkenaan, " katanya kepada BH, hari ini.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam bersetuju mewujudkan logo baharu dan manifesto bersama bagi melambangkan gabungan empat parti itu dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Keputusan itu dibuat selepas Pakatan Harapan diterajui PKR, DAP dan Parti Amanah Negara bersetuju menerima keanggotaan baharu daripada PPBM.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, ketika dihubungi menegaskan masih wujud tahaluf siyasi antara PAS dan PKR di Selangor.

Beliau yang juga EXCO Kanan Kerajaan Selangor, berkata setakat ini PAS Selangor tiada masalah dengan PKR di negeri itu kerana masih ada hubungan politik dan kerajaan.

"Usul dari beberapa PAS Kawasan untuk memutuskan hubungan dengan PKR memerlukan beberapa peringkat.

"Ia perlu terlebih dahulu diluluskan untuk dibahaskan pada muktamar dan selepas dibahaskan, ia perlu diundi oleh perwakilan di muktamar. Jika lulus baru boleh di bawa ke Majlis Syura Ulama untuk kelulusan," katanya.

Berita Harian X