Khamis, 23 March 2017 | 5:52pm

Usaha tangani kekurangan bekalan rumah mampu milik


GAMBAR fail.

KUALA LUMPUR: Penubuhan agensi tunggal dan repositori berpusat untuk menyelaraskan penyediaan rumah mampu milik adalah penting dalam mengatasi masalah kekurangan bekalan rumah mampu milik di negara ini pada masa depan.

Selain itu, usaha untuk mengurangkan kos pembinaan rumah mampu milik melalui pelaksanaan penjimatan kos dan teknologi yang meningkatkan produktiviti, akan mempercepat masa untuk menyiapkan projek rumah mampu milik.

Malah, usaha itu juga akan menambah bilangan rumah yang sedia untuk ditawarkan pada masa depan, demikian mengikut Laporan Tahunan 2016 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, hari ini.

Dari segi permintaan, pembangunan pasaran rumah sewa untuk mengecilkan jurang kemampuan boleh melegakan sedikit tekanan kepada kerajaan untuk membina semua rumah mampu milik yang diperlukan.

Langkah itu perlu diperlengkapkan oleh skim lebih inovatif untuk membiayai pembelian rumah mampu milik.

Bagi pembiayaan akhir, Bank Negara, seperti juga bank pusat negara lain, telah memperkenalkan langkah kehematan makro untuk mengekang kegiatan spekulasi dalam pasaran perumahan dan menghindarkan seseorang daripada meminjam terlampau banyak hingga melangkaui kemampuannya.

Penting untuk diketahui bahawa langkah itu tidak sekali-kali akan menjejaskan akses kepada pembiayaan bagi peminjam yang layak, termasuk bagi pembeli rumah kali pertama.

Sementara itu, kadar permohonan pinjaman perumahan yang ditolak di negara ini terus berkurangan kepada 23.6 peratus pada 2016 berbanding 26.1 peratus pada tempoh 2012-2015.

Corak aliran menurun itu jelas menunjukkan pembiayaan masih disediakan untuk pembeli rumah yang layak, selain syarikat yang membina rumah juga terus mendapat akses kepada pembiayaan bank.

Pinjaman untuk aktiviti hartanah dan pembinaan harta kediaman meningkat pada kadar kukuh 11.7 peratus pada 2016 berbanding 18.5 peratus dalam tempoh 2012-2014, sekali gus mencerminkan pelancaran hartanah dan bekalan yang semakin berkurang.

Pertumbuhan pinjaman terkumpul untuk pembelian rumah purata 13.2 peratus dalam tempoh 2012-2014 berbanding 9.8 peratus dalam tempoh 2008-2009.

Kadar itu menurun kepada 9.2 peratus pada 2016 berikutan pasaran perumahan yang lebih lembap.

Permintaan untuk rumah mampu milik telah menyokong peningkatan pembiayaan akhir oleh bank untuk pembelian rumah kediaman.

Pada akhir 2016, kira-kira 56 peratus daripada pinjaman terkumpul adalah bagi rumah berharga di bawah RM250,000, manakala pinjaman untuk rumah berharga antara RM250,000 hingga RM500,000 mencakupi 25 peratus.

529 dibaca
Berita Harian X