Jumaat, 24 March 2017 | 6:49pm

Nahas ragut korban kelima


NAHAS jalan raya membabitkan dua kereta di Kampung Tok Kaya, Machang. - Foto ihsan pembaca

KOTA BHARU: Seorang lagi mangsa nahas jalan raya membabitkan dua kereta di Kampung Tok Kaya, Machang, kelmarin, meninggal dunia petang tadi.

Mohd Zharith Haqeem Mohd Asrulnizam, 5, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian jam 5.30 petang tadi, menjadikannya mangsa kelima maut akibat kejadian itu.

Bapa saudara mangsa, Mohd Zahid Yajid, 47, berkata anak saudaranya menghembuskan nafas terakhir jam 5.30 petang selepas tiga hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

"Keadaannya kritikal dan bergantung kepada mesin pernafasan.

"Kami sekeluarga reda walaupun kehilangan lima ahli keluarga sekelip mata.

"Jenazah anak saudara saya akan dikebumikan bersebelahan kubur datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras, Binjai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tiga mangsa maut dalam kejadian di Kilometer 31, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Tok Kaya, Pulau Chondong pada jam 3 petang, Rabu lalu, iaitu Siti Rohani Yajid, 35; ibunya, Azizah Zakaria, 72 serta anaknya, Zairul Fitri Mohd Nizam, 11.

Bapa Siti Rohani, Yajid Ismail, 82, meninggal dunia jam 11.30 pagi di HUSM, semalam.

154 dibaca
Berita Harian X