Ahad, 26 March 2017 | 8:59pm

HOME.2.COM penyelesaian kehidupan pintar abad 21

KUALA LUMPUR: Panasonic Malaysia membawakan pusat penyelesaian kehidupan pintar abad ke-21 ke Malaysia dengan melancarkan HOME.2.COM yang pertama seumpamanya di rantau ASEAN.

Pusat penyelesaian yang dibangunkan di Vertical Podium, Bangsar South, itu menjadi platform rujukan dan inspirasi teknologi termaju gergasi elektronik itu untuk aplikasi kediaman pintar, komersial pintar dan bandar pintar.

Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn Bhd, Cheng Chee Chung, berkata HOME.2.COM mempamerkan barisan produk penyelesaian menyeluruh dalam empat kategori berbeza merangkumi segmen B2B2C (niaga-ke-niaga-ke-pengguna).

Menerusinya, beliau berkata, pengguna boleh melihat lebih dekat aplikasi produk penyelesaian pintar untuk diterapkan dalam kehidupan harian seperti kualiti udara dalaman (AQ), tenaga dan pencahayaan LED, sekuriti, komunikasi AV profesional dan perkakas gaya hidup.

"Pusat Penyelesaian berkeluasan 3,917 kaki persegi ini menjadi konsep yang terbukti untuk dicuba sendiri oleh pelanggan kami dalam segmen B2B2C hasil diilhamkan penyelesaian bersepadu kumpulan.

"Secara asasnya, HOME.2.COM terbuka kepada semua segmen pengguna sama ada pengguna kediaman, sekolah atau kedai sehingga arkitek, pereka bentuk, pemilik hotel, pengurus projek dan pihak majlis perbandaran.


CHEE Chung (kanan) bersama Pengurus Besar, Pembangunan Strategik B2B Panasonic Malaysia, Tan Chee Hon pada pelancaran HOME.2.COM di Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail

"Bersama wakil Indonesia, Thailand dan Vietnam, mereka akan menilai sendiri konsep pusat penyelesaian ini untuk diperluaskan dan dibuka negara masing-masing sebagai langkah pengukuhan jenama Panasonic," katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Chee Chung, berkata sumbangan jualan Panasonic Malaysia daripada segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) adalah sebanyak 10 peratus daripada RM1.6 bilion keseluruhan pendapatan syarikat.

Katanya, ia sejajar sasaran kumpulan supaya lebih 20 peratus daripada keseluruhan pendapatan syarikat disumbangkan segmen B2B menjelang 2020.

"Untuk mencapai sasaran terbabit, syarikat akan memperluaskan lagi segmen pasaran B2B yang mana kami merancang menjalin lebih banyak kerjasama dengan peserta industri seperti pemaju kediaman," katanya.

34 dibaca
Berita Harian X