Rabu, 29 March 2017 | 11:47pm

Pandelela, Nauraj Olahragawati dan Olahragawan UM 2016


PANDALELA Rinong (kiri) dan Nauraj Singh Randhawa dinobatkan sebagai Olahragawati dan Olahragawan Universiti Malaya (UM) 2016. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Pandelela Rinong dan jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa, dinobatkan sebagai Olahragawati dan Olahragawan Universiti Malaya (UM) 2016 sempena Malam Anugerah Sukan UM (ASUM) di Dewan Semarak, UM, sebentar tadi. 

Atlet kelahiran Kampung Jugan, Bau, Sarawak itu dipilih selepas menjadi atlet wanita pertama Malaysia berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara 10 meter (m) platform seirama bersama Cheong Jun Hoong Sukan Olimpik Rio 2016.

Nauraj pula mendapat tempat ke-18 dalam acara lompat tinggi ketika kali pertama beraksi di Olimpik selepas layak ke temasya itu dengan lompatan 2.29m yang dicatatkan di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 2016.

Rekod lompatan 2.29m itu turut meleburkan rekod kebangsaan milik Lee Hup Wei yang dicipta pada 2008.

Bagaimanapun, Pandelela dan Nauraj tidak dapat menghadiri majlis anugerah itu kerana masing-masing kini sedang menjalani latihan dan menyertai kejohanan di luar negara.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor UM, Tan Sri Prof Dr Mohd Amin Jalaludin dan Pengarah Pusat Sukan UM, Prof Dr Zulqarnain Mohamed.

Sementara itu Pandelela yang kini berada di Kazan, Russia untuk menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA, melahirkan rasa gembira kerana dipilih sebagai pemenang Anugerah Olahragawati UM 2016.   

Bagi Pandelela, anugerah itu akan menjadi motivasi dan pembakar semangat kepadanya untuk terus berjaya dalam sukan terjun pada masa depan.   

"Saya ingin berterima kasih kepada UM atas penghargaan tinggi ini kepada saya sebagai seorang pelajar di universiti tersebut dan menyokong kerjaya sukan saya," katanya dalam jawapan ringkas menerusi pesanan WhatsApp di sini.

228 dibaca
Berita Harian X