Selasa, 4 April 2017 | 7:11pm

Sarawak tubuh bank sendiri


KETUA Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, melihat pameran semasa waktu berehat di Persidangan Antarabangsa Infrstruktur ICT dan Ekonomi Digital Sarawak 2017 di Borneo Convention Centre Kuching. (BCCK). - Foto Che Rani Che Din

KUCHING: Sarawak akan menubuhkan bank sendiri sebagai model kewangan bagi membantu membiayai projek strategik negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg berkata, penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mencapai pelan transformasi sosioekonomi untuk tempoh 2017-2030.

Beliau berkata, DBOS akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, seterusnya menyumbang ke arah proses mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri.

"Objektif utama penubuhan DBOS adalah untuk memastikan hasil yang dijana daripada aktiviti pembiayaan projek strategik negeri ini akan memakmurkan ekonomi negeri dan rakyat.

"Dengan hasil yang konsisten lagi mapan yang dijana, negeri ini akan dapat terus menyokong agenda transformasi pembangunan ekonomi negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penutupan Persidangan Antarabangsa Infrastruktur ICT dan Ekonomi Digital Sarawak 2017 (IDECS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, projek strategik yang dirancang kerajaan negeri Sarawak merangkumi empat fokus utama pembangunan.

"Ia meliputi pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan perhubungan (ICT), tenaga (bekalan elektrik, minyak dan gas), meningkatkan pengangkutan awam bandar serta perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata, penubuhan DBOS sudah dipersetujui dan diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Bank Negara Malaysia (BNM).

"DBOS akan hanya berfungsi sebagai bank pembangunan, bukan bertanggungjawab atau mengiklankan untuk deposit awam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 137 dan Seksyen 138 Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002," katanya.

178 dibaca
Berita Harian X