Rabu, 5 April 2017 | 9:56am

5 kampung terjejas, 2 sekolah tutup di Pitas


KEADAAN di kawasan berhampiran SK Salimpodon, Pitas yang terjejas akibat banjir. - Foto Mohd Ruzaini Zulkepli

PITAS: Lima kampung di sini masih terjejas akibat banjir, manakala dua sekolah rendah ditutup susulan banjir yang melanda daerah ini sejak awal pagi semalam.

Lima kampung itu ialah Kampung Salimpodon Laut, Salimpodon Darat, Sumbilingon, Dandun Darat dan Layang, manakala dua sekolah yang tutup ialah Sekolah Kebangsan (SK) Sosop dan SK Kusilad.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin, berkata bacaan paras air menurun dengan hanya hujan renyai pagi ini.

Setakat jam 6 pagi tadi, katanya, paras air di Sungai Kebatasan adalah 5.55 meter iaitu paras amaran, manakala di Sungai Bengkoka pada paras 3.65 meter.

"Tiada pusat pemindahan banjir dibuka secara rasmi setakat ini. Paras air juga semakin menurun," katanya di sini, sebentar tadi.

Muliadi berkata, empat jalan yang dinaiki air adalah Jalan Pantai Kanibongan menghubungkan Kampung Limau Manis Kanibongan; Jalan Narandang menghubungkan Kampung Masin Besar Kanibongan; Jalan Ladap-Kinangoh dan Jalan Rukom-Kibuluh yang menghubungkan Kampung Kibuluh.

56 dibaca
Berita Harian X