Jumaat, 7 April 2017 | 8:04am
DATUK Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyerahkan nombor unit kepada pembeli pada Majlis Pelancaran dan Sesi Cabutan Undi RUMAWIP Residensi Seri Wahyu di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Supian Ahmad

Mah Sing lancar projek RUMAWIP


MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Sesi Cabutan Undi RUMAWIP Residensi Seri Wahyu di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Supian Ahmad

PEMAJU hartanah, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing), melancarkan projek RUMAWIP "Residensi Seri Wahyu" dengan nilai pembangunan kasar RM218 juta.

Ia adalah projek RUMAWIP pertama yang dibangunkan Mah Sing menerusi anak syarikatnya, Enchanting Height Sdn Bhd.

Projek itu menawarkan 660 unit rumah berkeluasan 805 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik serta dua bilik mandi. Ia ditawarkan pada harga RM300,000 dan setiap unit disediakan satu tempat letak kereta.

Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata pihaknya menyokong inisiatif kerajaan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat negara ini.

"Residensi Seri Wahyu terletak di lokasi strategik di Kuala Lumpur dan amat sesuai untuk golongan belia yang bekerja di kawasan bandar serta keluarga yang kecil," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Sesi Cabutan Undi RUMAWIP Residensi Seri Wahyu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor. Hadir sama Pengerusi Mah Sing, Tan Sri Jeneral Bersara, Yaacob Mat Zain.

Projek itu menawarkan satu blok kediaman setinggi 35 tingkat dan ia juga menyediakan kemudahan bertaraf kondominium seperti dewan serbaguna, kolam renang dewasa dan kanak-kanak, pejabat pengurusan serta surau.

Pembeli juga diberi pilihan untuk melengkapkan isi rumah dengan pakej yang ditawarkan Mah Sing dengan tambahan sebanyak RM30,000.

Pakej itu merangkumi kelengkapan bilik dan dapur, penghawa dingin, pemanas air, jubin lantai dan tambahan suis elektri.

Selain itu, pembeli juga boleh membeli tempat letak kereta tambahan berharga RM25,000 untuk tempat letak kereta bertentangan dan RM30,000 untuk tempat letak kereta bersebelahan.

Hoy Kum berkata, pihaknya berharap rakyat akan mengambil kesempatan itu untuk memiliki rumah melalui projek RUMAWIP kerana pembangunannya akan menjadi aset kepada pembeli pada masa depan.

Lokasi Residensi Seri Wahyu juga membolehkan penduduk mendapat akses terus ke Jalan Kuching, Jalan Ipoh, Jalan Kepong, Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2).

Ia juga mempunyai kemudahan pengangkutan awam seperti KTM Taman Wahyu yang terletak hanya 700 meter dari tapak projek.

INFO:

* Semua projek RUMAWIP terikat dengan sekatan jualan selama 10 tahun bagi membendung spekulasi hartanah

598 dibaca
Berita Harian X