Sabtu, 8 April 2017 | 3:47pm

3.5j penunggang motosikal tiada lesen


TIMBALAN Ketua Pengarah (Operasi & Perancangan) JPJ, Datuk Yusoff Ayob bersama sebahagian daripada 425 peserta SKSJ dari Tumpat. - Foto Siti Rohana Idris

TUMPAT: Kira-kira 3.5 juta penunggang motosikal berumur 16 tahun ke atas di negara ini tidak memiliki lesen.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusof Ayob, berkata anggaran yang dibuat berdasarkan pertambahan penduduk dari semasa ke semasa itu disebabkan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan lesen memandu.

"Ramai yang tidak menyedari kepentingan memiliki lesen memandu kerana mungkin penunggang (yang tiada lesen) hanya memikirkan mereka dapat terlepas daripada sekatan jalan raya.

"Namun, tanpa mereka sedar, ketiadaan lesen menyukarkan sebarang tuntutan dibuat sekiranya penunggang terbabit kemalangan.

"Mangsa boleh dianggap seperti 'mati katak' kalau meninggal dunia akibat kemalangan terbabit," katanya.

Beliau berkata selepas merasmikan penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor 2 di sini, hari ini.

Menerusi program SKSJ, peserta berumur 40 tahun ke atas hanya perlu membayar RM160 hingga RM200 bagi mendapatkan lesen motosikal B2 di bawah kendalian pihak JPJ sendiri termasuk kursus pemanduan, latihan menunggang motosikal dan menduduki ujian.

Yusof berkata, sejak diperkenalkan pada 2009, seramai 118,040 calon warga emas sudah menerima manfaat daripada SKSJ termasuk masyarakat Orang Asli.

"JPJ menganjurkan pelbagai program bagi membantu pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal bagi memiliki lesen antaranya SKSJ, MyLESEN serta MyPRIHATIN.

"Bagi program SKSJ kali ke 28 penganjurannya di Kelantan, seramai 425 peserta dari daerah ini mengikuti program terbabit," katanya.

174 dibaca
Berita Harian X