Sabtu, 8 April 2017 | 5:08pm

SPR sedia jawab di mahkamah


DATUK Seri Mohd Hashim Abdullah (kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika hadir melawat pameran dan gerai jualan pada Program Singgah Mesra SPR Menyantuni Mahasiswa Berbakti di Kampung Ruat. - Foto Sharul Hafiz Zam

YAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia bersemuka di mahkamah sekiranya kerajaan Pulau Pinang meneruskan hasrat memfailkan saman terhadap suruhanjaya itu susulan dakwaan penemuan "maklumat mengejutkan" mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata terpulang kepada kerajaan Pulau Pinang untuk membawa perkara itu ke mahkamah dan SPR sendiri akan memberikan kerjasama yang baik dengan pihak mahkamah kelak.

Mengulas lanjut, beliau berkata SPR sendiri akan menjelaskan mengenai dakwaan itu di mahkamah nanti daripada mengadakan perbincangan secara umum.

"Kita tidak boleh halang mereka membawa kes ini ke mahkamah dan ini bukan kali pertama pihak kami berdepan dengan situasi sebegini, kita serah kepada mahkamah untuk buat keputusan.

"Kita juga akan terus bagi penjelasan di mahkamah sahaja dan tiada sebarang perbincangan di luar mahkamah yang akan diadakan," katanya pada sidang media selepas Merasmikan Program #Jom Kita Daftar Undi - Singgah Mesra SPR di Kampung Ruat, di sini, tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pulau Pinang yang merancang untuk menyaman SPR susulan dakwaan penemuan "maklumat mengejutkan" berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hashim berkata data daftar pemilih pada suku keempat 2016 mencatatkan seramai 14,305,849 warga negara sudah mendaftar sebagai pemilih.

Katanya, berdasarkan data dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga 4 Januari tahun ini, jumlah warga negara yang berusia 21 tahun dan ke atas ialah seramai 18.16 juta orang.

"Ini bermakna jumlah warga negara yang belum mendaftar sebagai pengundi menurun kepada 3,858,471 orang berbanding 4.1 juta orang pada suku ketiga tahun lalu," katanya.

44 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »