Sabtu, 8 April 2017 | 7:26pm

PTPTN sasar 350,000 akaun baharu SSPN-i Plus


SHAMSUL (tengah) bergambar bersama pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Wow! Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) Suku Tahun Kedua 2016/2017 di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan program Triple Plus bertujuan menyediakan platform kepada rakyat Malaysia menjana pendapatan menerusi produk PTPTN.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata rakyat Malaysia perlu menjadi Ejen Pemasaran Online produk PTPTN untuk mendapat manfaat daripada program Triple Plus.

"Triple Plus itu mempunyai tiga manfaat besar iaitu penabungan, perlindungan dan pendapatan.

"Program yang berkonsepkan seminar itu turut memberi peluang kepada PTPTN membantu pelajar yang telah menamatkan pengajian terutamanya peminjam PTPTN untuk menjana pendapatan sampingan dengan menyertainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Wow! Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) Suku Tahun Kedua 2016/2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Shamsul berkata, siri pertama Triple Plus bermula hari ini dan akan menjelajah ke 13 lokasi seluruh negara hingga Julai nanti.

Sementara itu, beliau berkata PTPTN menyasarkan sekurang-kurangnya 350,000 akaun baharu akan dibuka di bawah SSPN-i Plus dengan deposit berjumlah RM550 juta pada tahun ini.

SSPN-i Plus yang diperkenalkan pada Jun tahun lalu bukan hanya untuk simpanan pendidikan tetapi ia turut menawarkan perlindungan takaful, dividen serta mendapat pelepasan taksiran cukai hingga RM12,000 setahun dan patuh syariah.

Terdahulu, Shamsul menyampaikan hadiah kepada pemenang anugerah utama Hadiah Wow! SSPN-i Plus kepada Afdhual Shamsi, 46, yang memenangi sebuah kereta Honda Jazz 1.5l, manakala tempat kedua dimenangi Noor Hayati Mustafa, 40, yang membawa pulang wang tunai RM2,000. - BERNAMA

60 dibaca
Berita Harian X