Isnin, 10 April 2017 | 11:32pm

3 angkasawan selesai misi 173 hari


ANGKASAWAN NASA, Shane Kimbrough selepas pendaratan Soyuz MS-02 kapsul angkasa Rusia berhampiran bandar Dzhezkazgan, Kazakhstan.- Foto Reuters

CAPE CANAVERAL: Seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan dua kosmonaut Russia selamat mendarat di tengah Kazakhstan hari ini, selepas misi 173 hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Pengulas di NASA Television menggambarkan pendaratan itu sebagai sempurna.

Angkasawan NASA Shane Kimbrough bersama kosmonaut agensi angkasa lepas Russia, Sergei Ryzhikov dan Andrei Borisenko menaiki pesawat Soyuz MS-02.

Rakaman dari tapak pendaratan menunjukkan ketiga-tiganya tersenyum di tengah matahari musim bunga, berjabat tangan dengan pasukan pemulihan perubatan dan bercakap menerusi telefon bimbit.

Pendaratan berlaku dalam cuaca masih terang pada jam 1120 GMT (5.20 petang) di tenggara bandar padang rumput luas Kazakhstan di Dzhezkazgan.

Daripada ketiga-tiga angkasawan yang berlepas ke ISS pada Oktober lalu, hanya Ryzhikov selesai misi pertama.

Tiga lagi kru masih berada di ISS, makmal penyelidikan bernilai AS$100 bilion (RM443 bilion) yang terbang 400 kilometer di atas bumi.

Mengetuainya adalah angkasawan AS Peggy Whitson, 57, yang mana pada 24 April ini akan memecahkan rekod 534 hari - masa paling panjang dihabiskan di angkasa lepas oleh angkasawan AS.

Whitson yang pernah mengikuti dua misi di ISS sebelum ini adalah wanita pertama memegang jawatan komander sebanyak dua kali.

Dua lagi kru, kosmonaut Roscosmos, Oleg Novitskiy dan angkasawan Perancis, Thomas Pesque, akan menyertainya pada 20 April ini.

Agensi angkasa lepas AS dan Russia bersetuju minggu lalu untuk melanjutkan misi Whitson kepada tiga bulan bagi mengisi tugas anggota baharu ketiga kru. - REUTERS/AFP

40 dibaca
Berita Harian X