Jumaat, 14 April 2017 | 7:00am

Fiesta Muslimah BH raih pendapatan lumayan - Peserta


FMBH 2015 yang diadakan di MATRADE mendapat sambutan pengunjung. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Perolehan keuntungan jualan hampir 100 peratus ketika menyertai Fiesta Muslimah BH (FMBH) 2015, mendorong pengusaha makanan dan minuman, Kamaliah Mansor, menyertai FMBH'17 yang akan diadakan, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula 2 hingga 4 Jun depan.

Kamaliah, 32, berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang menyertai FMBH'17 yang diadakan untuk kali ketiga itu memandangkan ia platform terbaik menambah pendapatan.

Katanya, penyertaan FMBH 2015 di Pusat Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur, 24 dan 25 Oktober 2015 itu adalah bazar jualan pertama yang disertainya dan tidak menyangka mendapat keuntungan yang begitu besar.

"Ketika FMBH'15 lalu, sambutan diterima di luar jangkaan hingga terpaksa menambah stok makanan dan minumannya dengan kerap.

"Pada awalnya, saya tidak begitu yakin mampu menjual memandangkan ini adalah kali pertama menyertainya, tetapi kehadiran orang ramai dan vendor lain membuatkan jualan saya laku.

"Menjelang tengah hari, semua jualan saya habis bahkan rakan lain yang menumpang produk mereka juga habis dibeli pengunjung," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Terima reaksi positif

Kamaliah berkata, beliau juga tidak menyangka boleh mendapat keuntungan hampir 100 peratus daripada jualannya dan berharap FMBH ini dapat diteruskan kerana memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

"Reaksi diterima daripada orang ramai juga sangat positif. Kehadiran mereka begitu membantu jualan peniaga dan pada masa sama kami juga menawarkan produk berbaloi," katanya.

Beliau bercadang menyertai FMBH'17 dan yakin ia mendapat sambutan menggalakkan kerana dibuat pada bulan Ramadan, selain lokasi SACC yang

"Berniaga di FMBH memang seronok. Ditambah bakal diadakan pada bulan Ramadan, pasti menambah kemeriahan orang ramai untuk membeli-belah.

"Saya menjual pelbagai jenis kuih raya dan beberapa jenis air yang menjadi antara produk dicari untuk menyambut hari raya," katanya.


ANTARA pengunjung yang hadir bersama keluarga pada FMBH 2014 di Zebra Square. - Foto fail NSTP/Aziah Azmee

Beri banyak manfaat

Kamaliah berkata, penganjuran ini juga memberi memberi manfaat kepada semua orang dan beliau berpendapat tidak rugi berkunjung ke FMBH yang akan diadakan nanti.

Kali pertama, FMBH diadakan di Zebra Square Kuala Lumpur, pada 23 November 2014 berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung, manakala kali kedua, di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur (24 dan 25 Oktober 2015), lebih 25,000 orang.

Info
Fiesta Muslimah BH

  • Fiesta Muslimah BH 2017 berkonsepkan pasar lokal.
  • Menyediakan 130 gerai jualan pelbagai produk khususnya fesyen Muslimah.
  • Aktiviti diadakan termasuk pertunjukan fesyen.
  • Dijangka 11 artis membuat persembahan.
  • Menggabungkan penggiat fesyen tempatan terkenal dan baharu mencipta nama.
  • Suasana santai tetapi meriah.
31 dibaca
Berita Harian X