Jumaat, 14 April 2017 | 7:28am

25 ditahan bantah dasar imigresen, sempadan Trump


POLIS New York menahan 25 penunjuk perasaan di lobi bangunan Menara Trump. - Foto REUTERS

NEW YORK: Polis New York menahan 25 orang di lobi bangunan Menara Trump kerana membantah dasar imigresen dan sempadan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Tunjuk perasaan itu berlaku di hadapan lif dan penunjuk perasaan melaungkan 'tiada larangan, tiada serbuan, tiada tembok!'. Mereka turut memakai kemeja T bertulis perkataan yang sama.

Tindakan itu memaksa pengawal keselamatan menutup laluan orang awam ke bangunan pencakar langit milik presiden itu, yang juga kediaman wanita pertama, Melania Trump dan anaknya, Barron Trump.

Trump dikatakan berada di Washington ketika kejadian itu.

Bantahan itu rata-ratanya merujuk kepada tindakan Trump membina tembok di sempadan selatan negara itu dengan Mexico dan tindakan pentadbiran presiden itu menahan suspek imigran tanpa dokumen perjalanan.

Mereka turut membantah tindakan Trump mengeluarkan perintah eksekutif untuk mengenakan sekatan ke atas beberapa negara Islam. - REUTERS

38 dibaca
Berita Harian X