Isnin, 17 April 2017 | 7:23am

Artis serikan FMBH'17


Artis popular tempatan seperti Mawi, Siti Nordiana dan Syamel bakal menyerikan Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17). - Foto NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Artis popular tempatan seperti Mawi, Siti Nordiana dan Syamel bakal menyerikan Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17) yang tampil dengan konsep 'pasar lokal' pada edisi ketiga di Shah Alam, awal Jun ini.

Artis lain yang boleh ditemui pengunjung fiesta adalah Caliph Buskers, Wany Hasrita, Amira Othman, Irfan Haris, Fina Mentor dan Tajul.

Menghangatkan suasana, FMBH'17 bakal dikendalikan penyampai radio Kool FM, Liza Khairuddin yang sebelum ini pernah menggalas tugas sama pada acara tahun lalu.

Selain beli-belah persiapan Syawal, pengunjung boleh beramah mesra dengan artis popular selain menonton persembahan mereka.

FMBH'17 akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) selama tiga hari mulai 2 Jun ini.

Tambah menarik, Siti Nordiana yang mesra dipanggil Nana, bersama Mawi akan membuka gerai jualan sempena fiesta berkenaan.

Lebih 100 bazar jualan pelbagai fesyen muslimah, aksesori dan kosmetik menyertai FMBH'17 dalam suasana santai, seiring sambutan ulang tahun BH ke-60.


KUALA LUMPUR 29 MARCH 2017. Logo baharu Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17). NSTP/Ihsan PEMBACA

FMBH'17 turut mendapat sambutan usahawan dalam talian dari seluruh negara.

Membuka tirai persembahan pada hari pertama FMBH'17, kumpulan dianggotai orang kurang upaya (OKU), Caliph Buskers bakal menghiburkan pengunjung pada 2 Jun.

Keesokannya, penyanyi baharu yang popular dengan lagu Menahan Rindu, Wany Hasrita akan membuka tirai persembahan. Ia diikuti juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, Asmawi Ani atau Mawi menyampaikan koleksi lagu popularnya.

Seterusnya, FMBH17 menampilkan pasangan adik beradik, Amira Othman dan Irfan Haris.

Pada 4 Jun, Fina Mentor bakal menghiburkan pengunjung FMBH'17. Ini diikuti Siti Nordiana, Syamel dan Tajul. Bukan hanya menghiburkan pengunjung, semua penyanyi akan meluangkan masa bertemu peminat.

Info

  • Lapan artis solo dan sebuah artis berkumpulan boleh ditemui FMBH'17

  • Artis solo adalah Mawi, Siti Nordiana, Syamel, Wany Hasrita, Amira Othman, Irfan Haris, Fina Mentor dan Tajul.

  • FMBH'17 dihangatkan dengan kehadiran Caliph Buskers.

  • Liza Kool FM bakal mengendalikan fiesta.

  • Mawi dan Siti Nordiana akan membuka gerai jualan.

  • FMBH'17 diadakan di SACC, Shah Alam selama tiga hari mulai 2 Jun ini.

dibaca
Berita Harian X