Rabu, 19 April 2017 | 8:12pm

Suspek utama sindiket pelaburan CPO ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang juga suspek utama sindiket pelaburan minyak sawit mentah (CPO) di Pulau Pinang petang tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata suspek ditahan di sebuah restoran pada jam 4 petang.

"Suspek akan dibawa ke rumahnya untuk pemeriksaan dan rampasan kenderaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut berkongsi kejayaan JSJK menahan suspek utama sindiket terbabit di akaun Twitter rasminya.

"Syabas JSJK Bukit Aman @PDRMsia tadi, di Pulau Pinang, tahan suspek utama, kes tipu CPO yang mengakibatkan 248 orang kerugian lebih RM31 juta. #GoPDRMGo," katanya.

Media sebelum ini melaporkan JSJK Bukit Aman menahan seorang ahli sindiket pelaburan CPO yang memperdaya orang ramai membabitkan kerugian RM31 juta.

Penahanan suspek berusia 35 tahun yang juga individu penting dalam sindiket terbabit dilakukan di Lembah Klang pada Ahad lalu hasil maklumat awam dan risikan.

Sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu dipercayai didalangi seorang lelaki berpangkat 'Datuk', menawarkan pelaburan berasaskan jual beli minyak sawit dengan menjanjikan pulangan dividen hingga 30 peratus, berdasarkan pakej yang diambil. 

302 dibaca
Berita Harian X