Rabu, 26 April 2017 | 6:51pm

33 ditahan dalam majlis hari lahir


ANTARA 33 individu yang ditahan di sebuah kondominium mewah Jalan Sultan Ismail ibu negara, selepas didapati positif dadah semasa menyertai parti hari jadi, petang semalam.

KUALA LUMPUR: Seramai 33 individu termasuk dua pelajar tingkatan dua dan tiga didapati positif dadah selepas menyertai satu sambutan hari lahir di sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam. 

Kesemua mereka berusia antara 14 hingga 28 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, susulan maklumat yang diterima dari orang awam. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai penganjur parti berkenaan yang turut dipercayai membekalkan dadah kepada mereka yang hadir. 

"Semasa serbuan jam 6 petang itu, pihak polis mendapati terdapat 47 individu termasuk dua pelajar sekolah dan empat remaja bawah umur berada dalam premis kediaman mewah berkenaan. 

"Hasil pemeriksaan dan ujian air kencing, 25 lelaki dan tujuh perempuan didapati positif dadah selain dua biji pil disyaki dadah methaphetamine dirampas," katanya dalam sidang media petang tadi. 

Sukri berkata, semua suspek yang positif kini ditahan reman selama tiga hari mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. 

Katanya, semasa serbuan majlis hari lahir yang disebarkan dari seorang individu kepada seorang individu lain dipercayai baru bermula dan berakhir pada jam 6 pagi tadi.

112 dibaca
Berita Harian X