Khamis, 27 April 2017 | 9:48pm

Siti Rahmah tak sabar berpencak lagi


OLAHRAGAWATI Kebangsaan 2016, Siti Rahmah Mohamed Nasir. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Empat bulan berehat susulan kecederaan menyaksikan semangat Olahragawati Kebangsaan 2016, Siti Rahmah Mohamed Nasir kini berkobar-kobar untuk kembali ke gelanggang, bermula dengan Terbuka Belgium, bulan depan.

Siti Rahmah mencipta sejarah semalam apabila menjadi atlet silat wanita pertama dinobatkan Olahragawati Kebangsaan, sekali gus mengenepikan lima calon lain termasuk pemenang pingat perak Olimpik Rio, Pandelela Rinong.

Juara dunia tiga kali itu mengalami kecederaan ibu jari kaki kiri ketika beraksi di final Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Bali, Disember lalu dan sekali pun sudah lama tidak ke gelanggang, pesilat Terengganu itu optimis peluangnya mengekalkan kejuaraan di Belgium, 6 hingga 7 Mei ini, tetap ada.

"Saya sudah lama tidak beraksi di kejohanan kompetitif selepas kali terakhir di Indonesia, jadi perasaan itu memang berkobar-kobar kerana kecederaan saya ketika ini sudah pulih sepenuhnya.

"Saya beraksi ketika di Uzbekistan, namun ia hanya perlawanan pertunjukan, jadi aksi di Belgium adalah aksi kompetitif pertama saya," katanya.

Pada Terbuka Belgium tahun lalu, Siti Rahmah yang beraksi dalam kelas Puteri E turut menghadiahkan satu pingat emas buat kontinjen negara yang secara keseluruhan membawa pulang lapan emas untuk muncul juara keseluruhan.

Mengulas lanjut kejayaannya dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan, serikandi berusia 30 tahun itu berkata ia menambah tekadnya untuk menghadiahkan pingat emas pada temasya Sukan SEA di hadapan penyokong sendiri, Ogos ini.

Pada Sukan SEA Ke-28 di Singapura dua tahun lalu, Siti Rahmah merangkul emas selepas mengalahkan pesilat Vietnam, Nguyen Thi Yen dengan keputusan 5-0.

338 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »