Jumaat, 28 April 2017 | 7:44pm

Penunggang motosikal lawan arus maut


KEADAAN kereta Perodua Myvi yang remuk di bahagian depan selepas bertembung dengan motosikal Honda EX5 yang ditunggang Mohd Suhaidi Shukur dalam kemalangan di KM 129 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Meraga Beris, Kijal, pagi tadi. - Foto Shamsudin Husin

CHUKAI: Akibat menunggang motosikal melawan arus, seorang pemuda maut apabila dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 129 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Meraga Beris, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Mohd Suhaidi Mohd Syukur, 35, yang menunggang motosikal Honda EX5 bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pemandu Myvi, Katialisa Kamaruddin, 31, dan penumpangnya, Kasmaruby Kamaruddian, 39, tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, mangsa yang tidak bekerja keluar dari rumahnya di Seri Bandi, Kemaman pada jam 9 pagi dikatakan mahu mengambil ubat di sebuah klinik di Kijal.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

274 dibaca
Berita Harian X