Selasa, 2 Mei 2017 | 1:12pm

Bekas kerani hadapi 38 tuduhan palsukan LO


Seorang bekas kerani Pejabat Daerah dan Tanah Seremban mengaku tidak bersalah atas 38 pertuduhan memalsukan dokumen pesanan tempatan (LO) di Mahkamah Majistret Seremban. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Seorang bekas kerani Pejabat Daerah dan Tanah Seremban mengaku tidak bersalah atas 38 pertuduhan memalsukan dokumen pesanan tempatan (LO) di Mahkamah Majistret Seremban, di sini, hari ini.

Maidzatul Ashra Mokhtar, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Fitriza Abd Latif dan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Mengikut semua 38 pertuduhan yang dibacakan di hadapan kedua-dua Majistret terbabit, tertuduh didakwa memalsukan LO dengan tujuan untuk menipu pegawai atasannya.

Semua kesalahan itu dilakukan pada 19 Februari tahun lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban di sini.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Kedua-dua majistret membenarkan dia diikat jamin secara keseluruhan RM61,000 dan kes disebut semula pada 31 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad dan Sara Afiqah Zulkipli, manakala tertuduh diwakili peguam Noliana Ali Othman.

104 dibaca
Berita Harian X