Selasa, 2 Mei 2017 | 3:40pm

The Era@Duta North tawar harga kediaman kompetitif


KEAN Ming bergambar bersama model bangunan projek JKG Land Bhd di Galeri Jualan, Jalan Segambut. - Foto Khairull Azry Bidin

JKG Land Bhd, pemaju hartanah tempatan, melancarkan Fasa Pertama The Era@Duta North yang menawarkan 921 unit residensi pada tawaran harga menarik bermula daripada RM375,000.

Lebih mengujakan, projek yang dibangunkan di kawasan matang Segambut dan berdekatan Mont Kiara itu menawarkan bakal pembeli diskaun lima peratus + tiga peratus bagi pembelian awal.

Pengarah Urusannya, Datuk Teh Kean Ming, berkata Fasa Pertama The Era@Duta North membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM583 juta dengan keseluruhan kawasan dibangunkan seluas 4.45 hektar.

Katanya, pembangunan pegangan kekal itu menawarkan keseimbangan kerja, kehidupan dan ruang rehat yang optimum menerusi seni rekanya yang efisien bagi membantu mereka yang inginkan matlamat gaya hidup mewah.

"Projek berkenaan merangkumi enam menara kediaman, satu pusat beli-belah tiga tingkat dan kawasan kehijauan seluas lebih 2.43 hektar," katanya pada pra-pelancaran The Era@Duta North, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, binaan menara kediaman berkenaan mencapai ketinggian antara 53 hingga 63 tingkat menjadikannya antara kumpulan bangunan tertinggi di kawasan itu.

"The Era@Duta North membawa konsep kediaman beraspirasi yang memberikan keseimbangan alam semula jadi yang menyegarkan serta indah selain disediakan kemudahan berasaskan teknologi terkini.

"Terdapat tiga fasa perumahan bertemakan 'Dawn' (keselesaan); 'Noon' (kedamaian) dan 'Eve' iaitu santai rekreasi serta hiburan," katanya.

Kean Ming menambah, harga yang ditawarkan adalah sangat kompetitif berdasarkan harga purata RM600 sekaki persegi bagi hartanah pegangan kekal di Kuala Lumpur.

Dari segi pelaburan, beliau yakin populariti Duta North akan meningkat serta menarik lebih banyak peluang pelaburan yang mampu memberi pulangan lebih kompetitif.

"Dengan lokasi yang hanya lapan kilometer dari KLCC yang mengambil kira-kira 15 masa perjalanan, akses hubungan bagi pembangunan itu dapat dipertingkatkan menerusi perkhidmatan KTM, LRT, monorail dan MRT2 yang bakal dibangunkan di kawasan berhampiran.

"Ini adalah peluang terbaik untuk membeli hartanah berikutan pasaran kini agak lemah. Selain itu, lindung nilai terhadap inflasi akan meningkatkan nilai pelaburan pada masa depan," katanya.

Info:

  • Pelancaran rasmi Fasa Pertama The Era@Duta North pada 15 April 2017 dan ia dijangka siap pada tahun 2020.
  • Menara kediaman disediakan kawasan berbumbung yang luas, ruang istirehat 'Sky Lounge' dan 'Moon Deck'.
  • Turut menawarkan pilihan memiliki unit 'Sky Garden' individu atau unit Semi D/Kembar pencakar langit.
  • Kemudahan lain seperti kolam renang 100 meter, pavilion tergantung, jejak kembara, laluan air dan dapur gourment khas.
  • Sebuah jambatan perantara akan dibina bagi menghubungkan penghuni secara eksklusif ke Jalan Putramas dan Dutama 2 untuk memudahkan akses ke pusat berhampiran seperti Publika, Dutamas, KL Metropolis dan Matrade.
48 dibaca
Berita Harian X