Selasa, 2 Mei 2017 | 5:18pm
MOHAMED Nazri (tengah) bersama Pairin (kiri), Kurup (dua dari kiri) serta Masidi (kanan) menunjukkan buku Tahun Melawat Keningau 2018 pada Program NBOS 1M Voluntourism Plant A Tree dan Pelancaran Tahun Melawat Keningau 2018 di Muzium Warisan Keningau. - Foto Francis Andin

RM1.025 juta pindah Batu Sumpah Keningau


MOHAMED Nazri menanam pokok di kawasan Muzium Warisan Keningau selepas merasmikan Program NBOS 1M Voluntourism Plant A Tree dan Pelancaran Tahun Melawat Keningau 2018 di Muzium Warisan Keningau. - Foto Francis Andin

KENINGAU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memperuntukkan RM1.025 juta untuk projek pemindahan dan penempatan semula Batu Sumpah Keningau.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata ia membabitkan kerja pemindahan Batu Sumpah, pembinaan jalan baharu, plaza, plak, tempat letak kereta serta beberapa kemudahan lain.

Beliau berkata, Batu Sumpah itu akan ditempatkan di lokasi selayaknya iaitu berhampiran bangunan Muzium Warisan Keningau, sekali gus memudahkan orang ramai dan pelancong menghayati nilai sejarahnya, selain menjadi mercu tanda daerah ini.

"Kerja pemindahan akan dimulakan dalam masa terdekat selepas upacara pemujaan semangat Batu Sumpah dijalankan mengikut adat istiadat masyarakat suku kaum di pedalaman yang akan dilakukan oleh Bobolian (bomoh).

"Selain itu, kerja pemindahan tidak boleh dimulakan sebelum upacara pemujaan semangat kerana pengwujudan Batu Sumpah Keningau ini mempunyai beberapa perkara yang perlu dipatuhi mengikut adat istiadat masyarakat di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program NBOS 1M Voluntourism Plant A Tree dan Pelancaran Tahun Melawat Keningau 2018 di Muzium Warisan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun.

Mohamed Nazri berkata, Batu Sumpah Keningau adalah peninggalan sejarah yang amat penting, bukan sahaja untuk daerah ini dan Sabah, malah dalam pembentukan Malaysia.

"Kerajaan Sabah melalui Jabatan Muzium Sabah akan mewartakan Batu Sumpah ini sebagai Warisan Budaya di bawah Enakmen Warisan Budaya (Pemuliharaan 1997) Negeri Sabah selepas kerja pemindahan lokasinya selesai dilaksanakan.

"Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Warisan Negara pula akan memohon kepada Kerajaan Sabah untuk mewartakan Batu Sumpah ini sebagai Objek Warisan di bawah Seksyen 49 Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 654)," katanya.

Batu Sumpah itu dirasmikan pada 31 Ogos 1964 dengan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens serta ketua etnik di hadapan Pejabat Daerah Lama Keningau ketika itu, sebagai simbol peringatan pembentukan Malaysia.

102 dibaca
Berita Harian X