Rabu, 3 Mei 2017 | 7:00am

5 projek TOD tumpuan Malaysia


LATITUD8 projek TOD pertama dilengkapi gaya hidup moden. - Foto Khairull Azry Bidin

DI sini, saya menyenaraikan lima projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang menjadi perhatian dalam pasaran hartanah Malaysia.

1. Latitud8

Ini adalah projek TOD pertama yang dipimpin oleh kerajaan dan terletak di atas stesen LRT Dang Wangi.

Dinamakan Latitud8, pembangunan pelbagai guna ini merangkumi sebuah podium runcit gaya hidup dengan kemudahan perniagaan dan konvensyen, ruang pejabat terbuka, suite SOFO, unit kediaman SOHO dan dupleks selain lounge atas bumbung.

Pembangunan ini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.10 bilion. Latitud8 dilancarkan pada separuh kedua 2016 dan dijangka siap pada akhir 2019.

Pemaju: Latitud8 adalah pembangunan tanah bersama antara Intan Sekitar Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik Crest Builder Holdings Bhd dan Prasarana Malaysia Bhd.

2. TREC

Lokasi kepada pusat hiburan khusus pertama Malaysia, TREC adalah hos kepada pelbagai restoran dan juga kelab malam.

Terletak berhadapan Tun Razak Exchange, terdapat rancangan untuk mengintegrasikan TREC ke stesen MRT Tun Razak Exchange, bergantung kepada pihak yang akan menanggung kosnya.

Ini bermakna akan ada akses terus kepada pekerja di Tun Razak Exchange dan juga penduduk di kawasan berkenaan.

Pemaju: TREC adalah projek usaha sama antara Cher Ng dan Pengasas TREC, Datuk Douglas Cheng Heng Lee.

3. KL118

Sebelum ini dikenali sebagai Warisan Merdeka, KL118 akan menempatkan sebuah pusat beli belah, bangunan pejabat dan hotel.

Ia kini sedang dibangunkan bersebelahan Stadium Merdeka. Apabila siap pada 2020, ia akan mengatasi Menara Berkembar Petronas sebagai bangunan tertinggi di Malaysia.

KL118 akan mempunyai akses ke laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.

Projek setinggi 118 tingkat ini mempunyai GDV RM6 bilion.

Pemaju: Permodalan Nasional Bhd

4. Bandar Malaysia

Bekas kem tentera Sungai Besi akan dibangunkan menjadi pembangunan pelbagai guna ikonik dikenali Bandar Malaysia dengan GDV RM150 bilion.

Ia menempatkan stesen kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dan dua stesen MRT iaitu Bandar Malaysia Utara serta Bandar Malaysia Selatan.

Stesen Bandar Malaysia Selatan akan menjadi stesen pertukaran yang menghubungkan aliran MRT ke aliran HSR.

Tapak kawasan ini seluas 196 hektar dan akan merangkumi 27,000 rumah mampu milik berkualiti.

Terdapat juga daerah komersial khusus bagi menyokong syarikat permulaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pemaju: 1Malaysia Development Bhd (1MDB)

5. KL Metropolis

Sebuah pembangunan pelbagai guna dipanggil KL Metropolis kini sedang dibina di Jalan Duta yang turut menempatkan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Mempunyai GDV RM15 bilion, ia akan dihubungkan dengan aliran MRT.

KL Metropolis akan terdiri daripada sebuah pusat beli belah, kondominium mewah, kompleks seni, muzium, ruang pameran serta presint kesihatan.

Pemaju: Naza TTDI

95 dibaca
Berita Harian X