Khamis, 4 Mei 2017 | 9:41am

2 terperangkap dalam kereta dibawa arus


KERETA dinaiki dua wanita yang dihanyutkan ke dalam sungai akibat banjir kilat di Kampung Ulu Bendol di Kuala Pilah, awal pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba

KUALA PILAH: Bomba menyelamatkan dua wanita yang terperangkap dalam kereta dihanyutkan sungai akibat banjir kilat di Kampung Ulu Bendol di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima maklumat banjir kilat di kampung berkenaan pada jam 4.36 pagi sebelum sepasukan anggota dan pegawai dihantar ke lokasi kejadian.

"Kita menyelamatkan dua wanita terbabit yang tidak dapat keluar dari kereta apabila kenderaan itu dihanyutkan ke dalam sungai ketika melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran kampung.

"Mereka dihantar ke Hospital Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.

"Pasukan kita turut mengeluarkan enam orang termasuk dua kanak-kanak dan seorang orang kurang upaya yang terperangkap di rumah apabila kawasan itu dilanda banjir kilat," katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, kawasan itu dilanda banjir kilat akibat hujan lebat lebih tiga jam bermula jam 1 pagi tadi dengan beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan, namun tidak membabitkan kecederaan.

148 dibaca
Berita Harian X