Jumaat, 5 Mei 2017 | 10:24pm

Norizman pesan mahu anak ke sekolah tahfiz


NORIZMAN Ismail.

CHUKAI: "Sebelum tidur semalam suami berpesan pada saya supaya hantar anak sulung kami Muhammad Rizman Irfan Norizman, tujuh tahun, ke sekolah tahfiz, sedangkan sebelum itu arwah tidak mahu".

Demikian diceritakan Nurul Aida Adha Raduan, 27, isteri kepada pelumba Cub Prix, Norizman Ismail, 32, dari Selangor, yang meninggal selepas terjatuh di selekoh pertama ketika ujian masa CP150 di Litar Lumba Bandar Baru Kijal, di sini, petang tadi.

Nurul Aida berkata, arwah suaminya menunjukkan perubahan sikap sejak dua minggu lalu dan beliau tidak menyangka ia petanda Norizman akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.

Katanya, dia bersama tiga anak mereka berusia antara empat hingga tujuh tahun mengikut Norizman ke Kemaman untuk memberi sokongan dan menginap di sebuah hotel di bandar ini.

"Sebelum tidur suami banyak bercakap mengenai masa depan anak.

"Malah, sebelum keluar daripada hotel untuk ke litar lumba di Bandar Baru Kijal, pagi tadi, arwah berjanji mahu membawa kami sekeluarga makan malam di sebuah restoran di bandar Chukai," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini, malam ini.

Nurul Aida berkata, beliau terkejut sebaik menerima panggilan daripada rakan arwah suaminya memaklumkan Norizman terbabit dalam nahas itu pada jam 4 petang.

"Rakan suami maklumkan Norizman cedera parah dalam kemalangan di litar lumba motosikal dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman.

"Siapa tidak sedih kehilangan suami secara tiba-tiba, namun kami reda. Saya berjanji akan menunaikan hasratnya menghantar anak kami ke sekolah tahfiz," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang tadi, Norizman, pelumba berasal dari Selangor dikatakan terjatuh ketika melalui selekoh pertama di litar lumba Bandar Baru Kijal, sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan.

824 dibaca
Berita Harian X