Isnin, 29 Mei 2017 - 12:13PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Trak premium Volvo FH Series

Oleh Shahrizan Salian



REKA bentuk terbaik dibangunkan tenaga tempatan. - Foto Eizairi Shamsudin

VOLVO Trucks baru-baru ini memperkenalkan trak premium keluarannya di Malaysia yang menawarkan penjimatan bahan api, keselamatan dan kebolehpercayaan terbaik dalam kelasnya, Volvo FH Series.

Direka bentuk dengan mengambil kira keperluan pemandunya dan tahan lasak untuk operasi paling sukar serta mencabar, Volvo FH adalah trak jarak jauh yang bakal menetapkan piawaian baharu untuk sektor pengangkutan.

Dibina untuk tugasan pengedaran serantau jarak jauh bersama kuasa dan tork yang mengagumkan, Volvo FH Series mampu mengendalikan penghantaran barangan besar yang membabitkan perjalanan jauh tanpa sebarang masalah.

Volvo FH Series dilengkapi dengan teknologi yang menjanjikan pemanduan keselamatan terbaik, rangkaian kuasa yang menjimatkan dan tempoh operasi lebih lama, melangkaui had yang mampu ditawarkan oleh sebuah trak premium.

Ia menawarkan pengendalian mengagumkan menerusi teknologi revolusi Volvo Dynamic Steering (VDS). VDS memberikan kestabilan stereng pada kelajuan tinggi dan kawalan sepenuhnya ketika pemanduan perlahan.

Teknologi itu mengurangkan sensitiviti trak terhadap angin lintang dan memastikan kestabilan di atas jalan tidak rata.

Sementara itu, Program Kestabilan Elektronik (ESP) mengurangkan risiko trak daripada tergelincir atau terbalik.

Dalam situasi berbahaya, ciri ini akan diaktifkan secara automatik dengan mengurangkan kuasa enjin, sebelum brek memperlahankan trak dan treler.

Volvo FH Series juga menawarkan tahap pengendalian terbaik dalam industri trak kerana ia dilengkapi penstabil yang dipatenkan oleh Volvo.

Penyerap hentak berfungsi menghantar tekanan beban ke bahagian tengah casis dan suspensi yang berfungsi untuk menghalang getaran daripada merebak ke seluruh trak.

Tidak dapat dinafikan bahawa penjimatan bahan api menjadi keutamaan kepada syarikat pengangkutan hari ini.

Volvo FH Series direka bentuk untuk menjimatkan bahan api dan komponen seperti I-Shift dengan gear rantai menjadikannya antara trak paling jimat minyak di dunia.

Struktur kabin baharu pada Volvo FH Series menjalani lebih 1,000 simulasi pelanggaran di Sweden. Ini melebihi semua piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Volvo Trucks melakukannya dengan satu matlamat, iaitu menghasilkan sebuah trak yang paling selamat untuk pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Reka bentuknya yang ergonomik membolehkan pemandu bekerja dengan lebih cekap, justeru meningkatkan keuntungan majikan.

Ia didatangkan dengan kabin dan ruang rehat lebih selesa, serta ruang penyimpanan barang di bahagian belakang dan luar yang boleh diubah suai mengikut keperluan.

Satu lagi ciri baharu pada trak ini ialah I-Park Cool, iaitu sistem bersepadu yang memberikan kapasiti penyejukan tanpa menjejaskan ruang kabin atau penggunaan bahan api.

INFO
Pakej perisian Volvo FH Series

  • Strategi Penukaran Asas
  • Penukaran Prestasi
  • Pelarasan Pemilihan Gear Asas
  • Paparan Suhu Minyak Kotak Gear


Trending

    Disyorkan