Selasa, 9 Mei 2017 | 9:01am

'Menahan Rindu' untuk FMBH'17

KUALA LUMPUR: Penyanyi Wany Hasrita yang bakal menghiburkan pengunjung sempena Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17), di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 hingga 4 Jun ini, menjanjikan persembahan bertenaga buat peminat biarpun kali pertama beraksi di bulan Ramadan.

Popular dengan lagu 'Menahan Rindu', Wany atau nama sebenarnya Nursyazwany Hasrita Hasbullah, 25, adalah antara yang akan membuat persembahan bersama beberapa lagi artis baharu lain termasuk Amira Othman, Irfan Haris dan Tajul.

Wany berkata, walaupun tiada pengalaman mengadakan persembahan pada bulan puasa beliau berharap dapat memberikan yang terbaik sebagai hadiah kepada peminat yang hadir ke fiesta itu.

"Lagu Menahan Rindu adalah antara yang akan saya dendangkan bagi mengisi slot di FMBH'17, pada 3 Jun nanti.

"Lebih penting lagi, saya teruja kerana dapat lebih dekat lagi dengan peminat bukan saja untuk menghiburkan mereka tetapi juga membeli-belah bersama di fiesta itu nanti," katanya kepada BH.

Mengenai FMBH'17, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi aplikasi muzik Smule ini berkata, penganjuran fiesta yang berkonsepkan 'pasar lokal' itu disifatkan kena dengan masanya untuk membantu usahawan memasarkan dan meningkatkan jualan mereka menjelang sambutan Aidilfitri.

Malah katanya, ia turut membantu orang ramai bagi mendapatkan keperluan ketika sibuk membuat persiapan untuk meraikan hari raya.

"Lebih menarik dengan adanya penyertaan daripada rakan artis yang turut membuka gerai jualan sepanjang pesta jualan selama tiga hari itu.

"Saya sendiri tidak sabar untuk mengunjungi gerai yang diusahakan oleh rakan artis sendiri seperti Siti Nordiana dan Mawi yang khabarnya turut berniaga nanti.

Justeru, beliau mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke fiesta beli-belah ini," katanya.

Lebih 100 bazar jualan daripada keperluan fesyen Muslimah, aksesori dan kosmetik boleh didapati di FMBH'17 yang dianjurkan sempena sambutan Ulang Tahun BH Ke-60.

Untuk tempahan gerai FMBH '17, hubungi Hani atau Lisa di talian 014-6639447, 013-2112591, 018-2742140 dan 012-6088968 atau e-mel shueelliscomm@gmail.com.

Info

FMBH '17:

* Hastag #fmbh17

* Hampir 10 artis bakal membuat persembahan nyanyian

* Caliph Buskers bakal membuka tirai persembahan pada hari pertama

* Selebriti seperti Liza Kool FM, Mawi, Siti Nordiana dan Ogy Ahmad Daud bakal membuka gerai jualan

51 dibaca
Berita Harian X