Selasa, 9 Mei 2017 | 7:15pm

KD Hang Tuah capai khidmat 50 tahun 

LUMUT: Seramai 36 bekas pegawai dan kru pertama Kapal Diraja (KD) Hang Tuah termasuk bekas pegawai memerintah kapal itu diraikan sempena sambutan Jubli Emas di Jeti Tambatan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, petang tadi.

Majlis itu dirasmikan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan bekas Pegawai Memerintah pertama kapal berkenaan, Datuk Tuan Hashim Tuan Mohamed.

Ahmad Kamarulzaman dalam ucapannya menyifatkan majlis ringkas itu penuh bermakna dan mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Katanya, majlis sempena ulang tahun kapal milik TLDM itu dianggap pengiktirafan, sekali gus melakar sejarah dalam angkatan tentera laut negara.

"Saya berbesar hati dan bangga dengan majlis ini yang dapat mengumpulkan kru pertama membabitkan pegawai dan anggota KD Hang Tuah, malah ia turut memberi makna kepada saya kerana sebelum ini saya juga pernah berkhidmat di atas kapal ini sebanyak dua kali.

"Dalam pada itu, majlis ini juga bertujuan untuk mengenang jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh warga KD Hang Tuah sepanjang 50 tahun berkhidmat dalam TLDM," katanya.

KD Hang Tuah atau sebelum ini dikenali sebagai Black Shark dengan nombor pennant F76 memulakan operasi pada 1966 dan asalnya dibina untuk Presiden Ghana sebelum ia diambil alih oleh Tentera Laut Diraja British dan dinamakan HMS Mermaid.

Pada 1977, kapal perang itu mula memasuki perkhidmatan TLDM bagi menggantikan kapal KD Hang Tuah yang lama iaitu HMS LOCH INSH dan majlis penyerahan itu disempurnakan di Southampton, London pada 22 Julai 1977.

Pelayaran kapal berkenaan ke Malaysia bermula pada 15 Ogos 1977 dengan kekuatan 13 pegawai, 47 pegawai kadet dan 104 anggota dan kini kapal itu dijadikan kapal latihan sejak 2006.

421 dibaca
Berita Harian X