Rabu, 10 Mei 2017 | 6:12am

11 Mei bangkit semangat perjuangan

SEBELUM kita dengar apa yang bakal diucapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada perayaan sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 pada 11 Mei, tidak salah kiranya kita imbas kembali beberapa amanat beliau pada PAU 2016 lalu. Antara kata-kata beliau yang semestinya diberikan perhatian oleh ahli UMNO ialah memperkukuhkan kebersatuan anggota parti dan berkhidmat sepenuh hati untuk rakyat.

Penulis ingin tanya ahli UMNO, adakah amanat tersebut dilaksanakan oleh anggota parti. Jawablah dengan ikhlas. Apa yang penting ialah ahli UMNO mesti prihatin dengan apa yang dikatakan oleh Najib dan kemudian melaksanakannya dengan seikhlas hati.

Perlu diingatkan, adalah penting amanat seperti ini diberikan perhatian serius. Tidak lama lagi pilihan raya umum (PRU) akan berlangsung dan jika ada ahli UMNO yang lalai, jangan salahkan pihak lain jika rakyat mula memilih parti alternatif sebagai pilihan mereka.

Itulah sebabnya tarikh 11 Mei 2017 mungkin tarikh paling penting dalam sejarah UMNO. UMNO berdepan pelbagai cabaran dan jika kebersatuan parti tidak diperkukuhkan, maka cabaran dipikul oleh UMNO pastinya akan lebih getir dan mencabar, khasnya dengan PRU yang semakin hampir.

Kebersatuan parti

Pastinya tarikh 11 Mei 2017 akan jadi pemangkin kepada UMNO untuk terus menggerakkan segala usaha dan tenaga bagi terus melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk agama, bangsa dan negara.

Kebersatuan parti juga bermaksud sama-sama memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada barisan pucuk pimpinan UMNO yang diketuai oleh Najib. Pada zaman yang mana media baru begitu bermaharajalela hingga boleh menguasai minda kita semua, maka ahli UMNO juga perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang bakal menyerang.

Jika fitnah ini dilakukan oleh pembangkang, itu perkara biasa. Tetapi, jika fitnah ini ditabur sendiri oleh ahli UMNO demi kerana agenda untuk kepentingan diri, maka golongan seperti inilah yang sebenarnya menghancurkan UMNO.

Dalam meraikan kejayaan UMNO selama 71 tahun, perlu dingatkan, jangan hilang fokus dan tumpuan kepada persiapan UMNO menghadapi PRU dan bagaimana memastikan UMNO terus relevan membangunkan negara kita bersama dengan parti komponen Barisan Nasional.

Amanat dan ucapan yang bakal dinyatakan Presiden UMNO kali ini perlu dihayati dengan lebih mendalam. Bahkan kata-kata yang bakal dilontarkan ini perlu dijadikan penyuntik semangat dan faktor menggerakkan jentera UMNO supaya bekerja lebih kuat untuk terus membela rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Ucapan syabas

Selama 71 tahun, UMNO sebenarnya telah membuktikan sebagai sebuah parti yang masih teguh dan unggul apabila kita dapat lihat bagaimana semua cabaran dilalui oleh parti utama orang Melayu ini ditangani dengan positif, adil dan penuh keyakinan. Cabaran dimaksudkan itu bukan sahaja cabaran hari ini, tetapi sejak dari penubuhan parti ini iaitu pada 11 Mei 1946.

Itu sebabnya ucapan syabas dan tahniah perlu diucapkan kepada UMNO yang masih terus mengekalkan kegemilangannya dan bakal menyambut ulang tahun ke-71. Pada masa sama perlu diingatkan juga kejayaan lampau boleh membuatkan ahli UMNO leka dan alpa. Itu sebabnya Presiden UMNO sering ingatkan ahli-ahli UMNO sentiasa peka dan bersedia menghulurkan jasa dan bakti kepada rakyat dan masyarakat amnya.

Perlu diingatkan juga bahawa landskap politik hari ini sangat berlainan dan berbeza. Rakyat lebih matang dan dengan adanya media baru yang tiada sempadan, maka setiap laporan, yang betul atau palsu boleh tersebar dengan sentuhan di hujung jari sahaja. Dan dalam hal ini, pemimpin UMNO serta ahli-ahli UMNO amnya perlu tangani situasi ini dengan lebih bijaksana dan rasional.

42 dibaca
Berita Harian X