Isnin, 22 Mei 2017 - 11:42PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Sastera patut bergerak bebas tanpa sempadan

Oleh Siti Haliza Yusop



SEBAHAGIAN penulis yang menghadiri Perhimpunan 1,000 Penulis yang diadakan bersempena PBAKL

AGENDA persuratan dan kesusasteraan perlu bergerak merentas sempadan negara bagi membolehkan usaha memartabatkannya dilaksanakan dengan baik.

Apa yang berlaku kini, agenda persuratan dan kesusasteraan itu hanya 'ditegakkan' selepas hubungan diplomasi antara sesebuah negara terbentuk.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Ramzah Dambul, berkata bidang persuratan itu sepatutnya menyerlah terlebih dahulu bagi membolehkan 'kecantikannya' disedari khalayak masyarakat.


TIMBALAN Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Ramzah Dambul. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Beliau berkata, pada masa ini keindahan kesusasteraan dan persuratan itu tidak begitu disedari kerana elemen diplomasi dilihat lebih banyak menyatukan masyarakatnya, termasuk melalui penganugerahan sastera luar negara yang turut memberi pengiktirafan kepada pengarang di negara ini.

Kesan hubungan diplomasi

"Saya tidak mengkritik penganugerahan ini, cuma apa yang berlaku ialah wujud diplomasi antara negara kita dan negara berkenaan terlebih dahulu dan kemudian barulah agenda persuratan itu hadir disebabkan oleh diplomasi berkenaan.

"Kita mahu keadaan berubah dan melihat persuratan itu menjadi keutamaan, serta bergerak terlebih dahulu merentas sempadan negara, sebelum agenda diplomasi pula menyatukan kita dengan rakan negara persuratan yang lain.

"Ini bukan sesuatu yang baharu, malah dalam bidang sains kini sains itu digunakan sebagai elemen penting yang menggerakkan diplomasi dan bukan diplomasi menggerakkan sains," katanya ketika menyampaikan ucaptama Aku Penulis, Yang Aku Minta Adalah... pada Perhimpunan 1,000 Penulis (P1000P) yang diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017, di sini.

Yang turut hadir, Penasihat P100P yang juga Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abd Wahab Ibrahim dan Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (DIBM), Ishak Hamzah.

Pertemuan penulis

Perhimpunan julung kali bertemakan Seribu Tetapi Satu: Negaraku itu dianjurkan bagi mengumpulkan penulis dengan pelbagai latar belakang dan genre penulisan dalam satu acara.

Ramzah yang juga pengarang berkata, penulis di negara ini juga perlu menunjukkan solidariti dan menolak polemik yang tidak diperlukan dalam dunia penulisan.

Katanya, sesuatu dasar yang dibina untuk khalayak itu juga tidak akan berfungsi jika khalayak sasarannya sendiri tidak menunjukkan penyatuan antara mereka.


Trending

    Disyorkan