Sabtu, 13 Mei 2017 | 6:00am
Perbincangan sering dilakukan bagi melancarkan lagi tugasan. - Gambar hiasan

Profesion jururawat miliki pasaran tinggi


Jururawat lelaki dan wanita bekerjasama ketika menjalankan tugas. - Gambar hiasan

Hari Jururawat Antarabangsa - Kewibawaan dan tanggungjawab tugas yang digalas seorang jururawat antara penyumbang besar dalam bidang perubatan, khususnya merawat dan memantau keadaan pesakit di klinik mahupun hospital.

Sungguhpun tugas jururawat sering dianggap hanya melakukan kerja ringan, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka yang memilih kerjaya berkenaan untuk bertugas dalam sektor ini.

Sebaliknya, segala tohmahan itu diketepikan bagi memenuhi tanggungjawab kerana tugas menjaga dan merawat pesakit perlu diberikan keutamaan.

Pengorbanan dan komitmen tinggi yang diberikan oleh mereka tidak disia-siakan. Setiap tahun, pada tanggal 12 Mei, Hari Jururawat Antarabangsa diraikan bagi menghargai jasa pembantu hospital ini.

Tahun ini, Hari Jururawat Antarabangsa membawa tema, A Voice to Lead, Achieving the Sustainable Development Goal (Suara ke arah kepimpinan dalam mencapai pembangunan mapan), memberi gambaran profesion kejururawatan mempunyai nilai pasaran yang tinggi.


Kim Ngor (kanan) bersama rakan sekerja di Beacon International Specialist Center.

Berdepan pelbagai ragam

Bagi Ketua Jururawat, Beacon International Specialist Center, Tan Kim Ngor, yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun di dalam profesion ini berkata, tiada yang lebih menggembirakannya apabila melihat bidang ini terus berkembang.

Katanya, dengan perkembangan bidang perubatan dari sudut teknologi dan kemajuan ubat-ubatan dalam merawat penyakit melalui pelbagai revolusi, hakikatnya sentuhan serta perkhidmatan jururawat sentiasa memberikan keistimewaan terhadap pesakit.

"Profesion kejururawatan ini sentiasa berdepan dengan arahan doktor dan kerenah pesakit yang pelbagai ragam.

"Kadangkala ia sememangnya sukar untuk terus kekal profesional dalam menjalankan tugas, namun jika kerja dilakukan dengan ikhlas dan sepenuh hati, maka ia mudah untuk ditangani," katanya kepada BH.

Kim Ngor berkata, khidmat sebagai jururawat juga perlu didorong rasa tanggungjawab untuk membantu dan menyedarkan masyarakat mengenai kesihatan serta membangunkan dan melaksanakan pelan penjagaan pesakit.

Kim Ngor berkata, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan profesionalisme kerjaya jururawat, tuntutan pelbagai ilmu semasa adalah satu keperluan.

"Bagi membekalkan jururawat dengan pelbagai ilmu semasa dalam bidang perubatan, contohnya pengendalian mesin berteknologi tinggi, pengenalan pelbagai ubat-ubatan baru dan sebagainya, mereka akan dihantar dan perlu hadir ke kelas setiap bulan.

"Selain itu, konsep mentor dan mentee juga diperkenalkan bagi melatih jururawat ketika bekerja. Hakikatnya, proses pembelajaran tidak berhenti pada satu tahap saja kerana teknologi berkembang dengan maju dan pelbagai perkara yang perlu dipelajari.

"Jika ada yang menganggap tugas kami membebankan, beban itu tidak dipikul secara individu, sebaliknya kerjasama dalam pasukan menjadikan ia lebih mudah untuk diuruskan," katanya.

Cabaran kerjaya

Kim Ngor juga tidak menafikan, cabaran kerjaya jururawat, ialah apabila tiada penghargaan diberikan.

"Namun, beliau menasihatkan mereka yang memilih kerjaya itu supaya sentiasa melihatnya dari sudut positif.

"Tidak semua orang mampu untuk menghargai tugas kita, jadi kita perlu hargainya sendiri. Malah, kepuasan itu akan datang dengan sendiri apabila rawatan yang anda berikan mampu menyembuhkan pesakit.

"Sungguhpun bukan mudah untuk mengukirkan senyuman kepada setiap pesakit, tetapi itu adalah cabaran yang seorang jururawat perlu tangani dengan pelbagai cara kreatif dan ilmu serta kemahiran yang tinggi," katanya.

Info: Hari Jururawat Antarabangsa

  • Disambut setiap tanggal 12 Mei.
  • Diraikan sempena ulang tahun kelahiran pengasas kejururawatan moden, Florence Nightingale.

  • Florence dikenali sebagai 'The Lady with the lamp' kerana pada zaman perang Crimean (1853 hingga 1856) beliau selalu melawat pesakit (tentera) pada waktu malam dengan lampunya untuk melihat pesakit yang memerlukan bantuan.

  • Dianjurkan Majlis Kejururawatan Antarabangsa (ICN), berpusat di Geneva sejak 1899.

  • Hari ini ia disambut sebagai mengenang jasa jururawat yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, bertungkus-lumus siang dan malam dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

130 dibaca
Berita Harian X