Sabtu, 13 Mei 2017 | 7:10am

EPL: Conte dedah kunci kejayaan Chelsea


PENGURUS Chelsea, Antonio Conte (tengah) meraikan kejayaan bersama pasukannya menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL). - Foto AP

WEST BROMWICH: Antonio Conte berkata, kunci kepada kejayaan Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) ialah membina kembali semangat berpasukan kelab London itu dan perubahan taktikal yang berkesan.

Anak buah Conte dinobat juara selepas kemenangan 1-0 di West Bromwich Albion ketika saingan masih berbaki dua perlawanan.

Jaringan kejuaraan minit ke-82 pemain gantian, Michy Batshuayi adalah contoh kepada impak besar dibawa Conte sejak pengendali dari Itali itu mengambil pasukan tahun lalu.

Ketika tiba di Stamford Bridge, dia berdepan skuad yang berpecah belah selepas pengendali sebelum ini Jose Mourinho dipecat musim lalu.

Namun bekas pengendali Juventus dan Itali itu bijak mengawal keadaan dan usahanya dibayar dengan perjalanan hebat menuju kejuaraan.

Sentuhan emas Conte jelas kelihatan menerusi perubahan formasi kepada tiga pertahanan berikutan kekalahan di tangan Liverpool dan Arsenal pada September.

"Keputusan itu mengubah musim kami. Kami perlu mengubahnya dan mencari wajah baru untuk pasukan. Dalam fikiran saya nampak satu pilihan untuk bermain 3-4-3 kerana saya tahu saya mempunyai pemain untuk melakukannya," kata Conte.

Selepas perubahan itu Chelsea merakam 13 kemenangan berturut-turut, dan walaupun dikejutkan dengan kekalahan kepada Crystal Palace dan Manchester United, anak buah Conte kembali melangkah bergaya ke arah kejuaraan. - AFP

92 dibaca
Berita Harian X