Sabtu, 13 Mei 2017 | 7:46pm

Keputusan pecat ADUN DAP tepat - Azalina


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Khairull Azry Bidin.

BANGI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mengambil tindakan tepat dengan memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut daripada DAP, Dr Ting Tiong Choon.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata undang-undang negara ini tidak membenarkan mana-mana individu yang memiliki kewarganegaraan negara lain, bertanding atau dipilih sebagai Ahli Parlimen, ADUN dan menteri.

Beliau turut mempersoalkan tindakan DAP membenarkan Tiong Choon bertanding sebagai wakil rakyat parti itu sedangkan peraturan jelas dinyatakan dalam borang pencalonan.

"Keputusan Speaker DUN itu tepat kerana ini undang-undang. Dalam peraturan pilihan raya dan juga Perlembagaan Persekutuan ada dinyatakan anda mestilah warga negara Malaysia (untuk bertanding), tidak ditulis warga negara Malaysia dan warga negara lain.

"Pemilik status Pemastautin Tetap (PR) juga tidak boleh bertanding.

"Sebagai Ahli Parlimen atau ADUN, mengapa anda mahukan kerakyatan negara lain. Kalau anda ahli perniagaan, mungkin untuk tujuan perniagaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Pengurusan Jenayah Seksual Kanak-Kanak di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas isu pelucutan keanggotaan Tiong Choon sebagai ADUN Pujut semalam selepas didapati memiliki kerakyatan Malaysia dan Australia, selain didakwa turut mendaftar sebagai pengundi di sana.

Azalina berkata, keputusan itu perlu dijadikan peringatan kepada menteri, Ahli Parlimen, ADUN dan exco kerajaan negeri serta individu yang bakal bertanding pada pilihan raya akan datang.

286 dibaca
Berita Harian X