Ahad, 14 Mei 2017 | 7:36am

Malaikat rahmati penghuni syurga


MUKMIN yang memberi makan kepada orang lain seperti gelandangan dijanjikan syurga.

RASULULLAH SAW menggambarkan bilik yang ada dalam syurga sangat indah dan cantik, terapung-apung di awangan dan kedudukannya menjulang tinggi ke langit sejauh 60 hasta dari permukaan lantainya.

Orang yang bertakwa ditempatkan di bilik yang tinggi dan di bawahnya mengalir anak sungai yang indah seperti dijanjikan Allah SWT. Selain itu penghuni syurga berada di tempat penuh ketenangan, manakala di dalam setiap bilik itu ditempatkan bidadari yang sangat cantik.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dalam kedua-dua syurga itu juga ada (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya; maka yang mana satu di antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Iaitu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing." (Surah al-Rahman, ayat 70-72)

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm menerangkan, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Sahl bin Saad, Rasulullah SAW bersabda: "Ahli syurga ini, apabila dia masuk sahaja ke dalam syurga dan ke bilik-biliknya, bagaikan ahli dunia yang melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit."

Imam Ahmad juga meriwayatkan, Abu Hurairah bertanya kepada Baginda SAW, "Ya Rasulullah, jika kami boleh melihat kamu, maka tenanglah hati kami dan menjadi ahli akhirat, tetapi saat kami berpisah denganmu, maka kami hanyut dengan dunia yang menyebabkan kami lena dengan anak dan isteri kami yang sering meracuni kami. Lalu Baginda menjawab: Kalian ini tetap seperti ketika bersamaku walau dalam keadaan apa sekalipun. Malaikat akan berjabat tangan dengan kalian dan menziarahi kalian di rumah kalian. Jika kalian duduk denganku dan boleh ingat kepada Allah, mengapa apabila duduk bersama keluarga kalian tidak boleh mengingati Allah? Kerana nanti malaikat akan datang merahmati dan mendoakan kalian, walaupun kalian berada di rumah. Seandainya kalian tidak pernah berdosa, Allah akan datangkan kaum yang melakukan dosa supaya Allah dapat mengampuni mereka."

Kemudian sahabat berkata, "Ya Rasulullah, ceritakanlah kepada kami mengenai syurga, bagaimana bentuk bangunannya? Baginda menceritakan, batu-batanya diperbuat daripada emas dan perak, campuran simennya daripada minyak kasturi, kerikilnya daripada mutiara dan yakut. Tanahnya daripada za'faran dan sesiapa yang memasuki syurga akan bersenang-senang dan tidak akan susah, kekal dan tidak mati.

Pakaian penghuni tak lusuh

Pakaian penghuni syurga tidak akan lusuh, usia menjadi muda dan tidak akan punah ranah. Seterusnya Rasulullah berkata, tiga kelompok manusia yang doanya tidak pernah ditolak ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga tiba waktu berbuka dan doa orang yang teraniaya. Doa itu dibawa awan lalu dibuka pintu-pintu langit dan Rabb tabaraka wataala menyebut: Demi kehormatan-Ku, aku akan menolong walaupun tertunda doa kamu dimustajabkan oleh Allah. Aku akan menjawab setiap doa yang kamu pohon itu, akan sampai kepada-Ku. Adapun firman Allah sungai-sungai yang mengalir di bawahnya itu tanpa ada lubang-lubang di dalamnya."

Rasulullah SAW sering menceritakan kepada sahabat betapa indahnya syurga untuk memberi rangsangan kepada mereka. Pernah seorang tua Arab Badwi berkata kepada Baginda, "Ya Rasulullah, cerita kamu mengenai bilik di dalam syurga ini, milik siapakah ya Rasulullah? Baginda menjawab: Semuanya milik orang yang baik perkataannya, dan menjaga tutur katanya. Oleh itu elakkan menyebut perkataan yang tidak baik, jangan biasakan mulut dengan menyebut kalimah yang boleh menyakiti hati orang yang mendengarnya dan jangan suka menulis perkara yang buruk dan caci-maki hingga menyebabkan akhirnya kita tidak melayakkan diri untuk menghuni syurga Allah."

Selain itu, orang yang suka memberi makan orang lain berhak memasuki syurga. Begitu juga manusia yang solat pada waktu malam sedangkan manusia lain sedang nyenyak tidur.

Saidina Ali pernah meriwayatkan Rasulullah SAW menceritakan bahawa cantiknya syurga sehinggakan orang yang di luar boleh melihat orang di dalam dan orang di dalam boleh melihat orang di luar.

Keindahan bilik di syurga

Allah SWT menyediakan syurga yang cantik sehingga jelas kelihatan butiran di dalamnya untuk manusia yang suka mengajak orang lain makan, lembut tutur katanya, sentiasa menjaga puasanya dan rajin berjaga malam untuk solat sunat.

Hadis diriwayatkan oleh Abdullah bin Qais, Rasulullah SAW bersabda: "Bagi orang Mukmin Allah sediakan bilik yang indah di dalam syurga dalam keadaan mutiara yang menjulang tinggi, jaraknya sepanjang 60 hasta dan ia memiliki keluarga yang bergilir-gilir memasuki bilik itu tanpa dapat dilihat oleh orang lain."

Ummu Habibah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang rajin mengerjakan solat sunat 12 rakaat sehari semalam, Allah akan binakan istana yang indah untuknya dalam syurga."

Uthman bin Affan menyebut, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang telah membina masjid di atas dunia untuk mengharapkan keredaan Allah, Allah akan bina secantik itulah istana untuknya di dalam syurga."

Berita Harian X