Isnin, 29 Mei 2017 - 12:11PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Bahasa Melayu perlu dipertahan sebagai induk negara bangsa


ZAINAL Abidin (kanan) berucap pada Mesyuarat Agong GAPENA Ke-46. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Seluruh struktur pemerintahan di negara ini mesti mempertahankan bahasa Melayu, sekali gus tidak boleh meruntuhkan perkembangan dan pertumbuhannya yang sudah terbentuk sejak sekian lama.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata sebagai negara berbilang kaum, bangsa, agama dan budaya, bahasa Melayu perlu dipertahankan terutama dalam pembinaan negara bangsa yang bersatu padu.

"Bahasa Melayu tidak setakat menjadi bahasa komunikasi, perpaduan, perundangan dan bahasa rasmi dalam pemerintahan tetapi lebih utama lagi sebagai induk dalam konsep pembentukan negara bangsa," katanya pada ucapan perasmian bersempena Mesyuarat Agung GAPENA ke-46, di sini.

Bukan antibahasa Inggeris

Zainal Abidin berkata, amat menyedihkan apabila alasan yang digunakan bagi mewajarkan penggunaan bahasa Inggeris ialah kerana ia dikatakan berupaya mempertingkat daya saing dan modal insan masyarakat hari ini.

"GAPENA bukan antibahasa Inggeris dan menyokong usaha kerajaan mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa berkenaan tetapi kami cuma menentang sekiranya ia digunakan bagi mengambil alih peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

"Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sendiri menetapkan kaedah terbaik manusia mempelajari ilmu baharu adalah melalui bahasanya sendiri dan ini menafikan hak anak kampung dan luar bandar untuk memperoleh ilmu pengetahuan," katanya.

Beliau berkata, GAPENA yang akan berusia 47 tahun pada Oktober depan lantang dalam menyatakan pendiriannya mengenai isu kesusasteraan kebangsaan, bahasa kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan.

Katanya, meskipun terpaksa mengharungi badai dalam perjuangan bersama pejuang bahasa yang lain, namun tiga perkara tersebut tetap menjadi keutamaan dan asas perjuangan dalam peta proses pembinaan negara bangsa di Malaysia.


Trending

    Disyorkan