Selasa, 16 Mei 2017 | 3:42pm

Dalang skim forex, dua lagi direman 3 hari

KLANG: Dalang utama sindiket pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) serta dua suspek kes sama direman selama tiga hari bermula hari ini.

Ketiga-tiga suspek ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman jam 4.30 pagi tadi.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan di Mahkamah Maijstret Klang bagi membolehkan polis menyiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdulla Sani, dalam kenyataan pagi ini berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Accord; lima unit telefon bimbit; pelbagai dokumen berkaitan skim pelaburan JJPTR; buku cek; 11 keping kad debit dan kredit pelbagai bank dan wang tunai RM20,936.

Lelaki berusia 28 tahun yang turut dipercayai pengasas sindiket ditahan pada jam 4.30 pagi di satu lokasi di Petaling Jaya, Selangor.

Dua lagi yang ditahan adalah ahli sindiket, disyaki berperanan sebagai orang kanan serta pembantu peribadi.

Semua lelaki terbabit adalah rakyat tempatan berusia antara 28 dan 29 tahun.

Dalam serbuan ke atas premis di lapan lokasi sekitar Pulau Pinang pada Jumaat lalu, seramai 13 wanita dan dua lelaki pekerja sindiket serta empat pelabur terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 23 dan 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Sindiket menawarkan skim pelaburan didakwa berasaskan perniagaan pertukaran mata wang asing (forex), setakat ini dipercayai mengaut keuntungan RM1.7 bilion hasil wang yang dilaburkan mangsa.

282 dibaca
Berita Harian X