Khamis, 18 Mei 2017 | 3:04pm

Ken Ilso waspada ancaman Pahang


PENYERANG import Kedah, Ken Ilso Larsen. - Foto Hairul Anuar Rahim

ALOR SETAR: Penyerang import Kedah, Ken Ilso Larsen memberi amaran kepada rakan sepasukannya agar berwaspada dengan Pahang yang turun dengan misi untuk meranapkan harapan skuad Helang Merah menjulang Piala FA, Sabtu ini.

Kata penyerang berusia 30 tahun itu, kemenangan besar 4-1 yang dilakar mereka ke atas anak buah Dollah Salleh pada aksi Liga Super tidak boleh dijadikan sandaran dan jaminan betapa mereka mampu memenangi aksi terbabit apatah lagi merakam keputusan sama di Stadium Shah Alam nanti.

Dia yang meledak dua gol pada aksi terbabit juga percaya betapa 'amukan' Skuad Tok Gajah bakal menghadirkan cabaran yang sungguh sukar buat Kedah terutamanya selepas Pahang dijangka turun dengan kekuatan penuh dan juga kehadiran penyerang baharu yang masih misteri, Yamil Romero.

"Kemenangan pada aksi Liga Super yang lalu adalah perkara yang sudah lepas dan kini kami menghadapi Pahang selaku pencabar dan finalis bagi merebut Piala FA.

"Situasinya sama sekali berbeza kerana perlawanan akhir membuatkan semangat sesuatu pasukan itu berkobar-kobar. Pahang adalah satu pasukan yang baik tetapi kami sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi penentuan ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Darul Aman.

Dalam masa sama, bekas penyerang kelab Fortuna Dusseldorf itu juga tidak mahu kecewa dalam penampilan akhir buat kali ketiganya malam esok selepas kecundang dalam dua final bersama pasukan terdahulunya sebelum ini.

"Ini adalah final saya yang ketiga sepanjang karier saya jadi sudah pasti saya mahukan trofi Piala FA menjadi milik saya sekali gus menambah koleksi trofi selepas berjaya meraih Piala Sumbangsih pada pembukaan musim lalu," katanya.

Dalam dua aksi final sebelum ini, Larsen tewas kedua-duanya apabila pasukannya, FC Midtjylland tewas aksi final Piala Denmark 2010 dan pasukan Home United yang diwakilinya pada 2015 tunduk di pentas akhir Piala Singapura.

23 dibaca
Berita Harian X