Khamis, 18 Mei 2017 | 3:55pm

Pembangkang dicabar buktikan kesetiaan pada negara


DR Ting Tiong Choon. - Foto Mohd Radzi Bujang

KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang perlu membuktikan mereka tidak memiliki taraf kerakyatan lain selepas kes wakil rakyat DAP, Dr Ting Tiong Choon terbongkar sehingga menyebabkan kelayakannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dilucutkan.

Ahli Dewan Negara, Datuk Fahariyah Nordin, berkata perkara yang berlaku kepada Dr Tiong Choon, minggu lalu menimbulkan persoalan berapa ramai sebenarnya pemimpin pembangkang yang mempunyai dwi kerakyatan.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang, berkata umum mengetahui ramai pemimpin pembangkang yang mempunyai hubungan istimewa dengan negara jiran, maka tidak mustahil ada dalam kalangan pemimpin pembangkang memiliki kerakyatan negara berkenaan.

"Saya mendesak dan mencabar kepemimpinan pembangkang untuk membuktikan taat setia bahawa mereka sememangnya warga Malaysia.

"Selama ini mereka hanya tahu mencari salah kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional sedangkan hakikatnya pembangkang sentiasa beretorik dan hanya berpolitik setiap masa demi kepentingan peribadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemecatan itu dibuat berikutan ADUN Pujut itu memegang kewarganegaraan Australia, malah didaftarkan sebagai pengundi di sana.

Fahariyah berkata, tindakan merahsiakan status pemilikan dua kewarganegaraan adalah memalukan dan menghina institusi Perlembagaan, Parlimen dan DUN selain tidak menghormati peruntukan undang-undang.

Katanya, negara perlu disanjung tinggi dan dimuliakan, bukannya diperdagangkan dengan begitu hina sekali.

"Pastinya sikap patriotik seseorang rakyat yang memiliki dua kewarganegaraan akan terus dipersoal dan menjadi bahan permainan, usikan pihak lain termasuk pemerhati politik antarabangsa yang akan melabel wakil rakyat Malaysia sebagai pemimpin tangkap muat dan tidak cintakan negara," katanya.

Berita Harian X