Khamis, 18 Mei 2017 | 4:27pm

Juliana enggan terburu-buru timang anak


PELAKON jelita berdarah campuran, Juliana Evans. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Baru saja bergelar isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, pelakon jelita berdarah campuran, Juliana Evans, 27, mengaku tidak terburu-buru untuk menimang cahaya mata.

Bagi Juliana atau nama penuhnya Juliana Sophie Johari Evans, beliau mahu menikmati kehidupan bersama suami tercinta terlebih dulu sebelum menyambut orang baharu dalam keluarga mereka.

Juliana berkata demikian ketika ditemui BH Online sewaktu menghadiri malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 di Putrajaya.

Pelakon berkenaan berkahwin dengan Tengku Shariffuddin Shah, 29, pada 30 April lalu dalam sebuah majlis tertutup di Shah Alam.

"Saya bukanlah mahu merancang, tetapi rasanya kami takkan menimang cahaya mata dalam masa terdekat. Saya mahu melayari hidup berdua dengan suami dulu, kemudian barulah boleh fikirkan soal anak.

"Lagipun, kami baru saja berkahwin, jadi biar stabil dulu semua fasa yang sedang dilalui sekarang," katanya yang anggun mengenakan persalinan rekaan Hatta Dolmat pada acara gilang gemilang terbabit di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), 14 Mei lalu.

Tambah pelakon yang akan muncul dengan filem Bella dan Jamie, pada Oktober depan, beliau dan suami juga akan mengadakan majlis resepsi besar-besaran selepas Aidilfitri nanti.

"Majlis nikah yang diadakan hujung bulan lalu memang diadakan secara tertutup, dengan jumlah tetamu yang terhad. Kurang daripada 100 tetamu saja yang hadir. Jadi, jemputan daripada pihak saya pun agak terbatas. Saya hanya jemput beberapa anggota keluarga dan kawan rapat.

"Insya-Allah, bagi majlis resepsi yang dirancang ini, saya akan mengundang lebih ramai tetamu, termasuk rakan media," katanya yang merancang untuk berbulan madu di Santorini atau Maldives.

Berita Harian X